Mindset

25 October 2018, hari ni tambah ilmu dalam pemasaran atas talian. Lebih fokus kepada membetulkan mindset sebenar dalam cara menghasilkan kempen-kempen iklan.

Kembali melihat facebook. Melihat aktiviti yang dikongsikan pada hari ni. Jika berdasarkan tarikh ini, kira-kira beberapa hari lagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bakal dihadapi pelajar-pelajar sekolah menengah.

Teringat pula macam-macam kenangan 10 tahun yang lepas.

Kenangan berhempas pulas nak pastikan dapat buat yang terbaik lagi untuk 1 pencapaian dalam kehidupan.

10 tahun lepas, saya sudah pun didedahkan dengan ‘timeframe’ perancangan 5 tahun selepas SPM, bila dilihat semula mungkin ada yang mengena dan ada juga yang lari.

Itulah kehidupan. Tidak lari dari ‘try and adjust’. Ini yang saya belajar sepanjang 10 tahun selepas SPM.

Persoalan berkenaan “Apa yang aku nak buat selepas ini”, sejujurnya saya baru dapat jawapannya dengan yakin pada 3 tahun lepas.

Apapun, selamat maju jaya kepada adik-adik yang akan menghadapi peperiksaan SPM 2018 yang tinggal beberapa hari sahaja lagi. Perbetulkan mindset, agar segala tindakan dan perancangan akan lebih fokus dan mampu dilaksanakan.

Latihan Industri Universiti Kebangsaan Malaysia 2018

Selesai menerima kunjungan lawatan Dr. Nurulhikma, pensyarah Sains Bioteknologi dari Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Lawatan ini adalah sebahagian proses penilaian pelajar latihan industri sebelum mereka bergraduasi. Bertemu semula dengan kak zah, pegawai di Rumah Tumbuhan UKM.

Beliau masih ingat lagi siapa yang selalu bawa bekal makan tengah hari di Rumah Tumbuhan dulu.

Teringat zaman saya sendiri sewaktu mengaji di UKM, Bangi. Teringat zaman menjalani latihan industri di Serotech Sdn. Bhd.

Sudah 5 tahun masa itu berlalu. Pelbagai ragam manusia dihadapi. Semuanya adalah proses pembelajaran.

Apapun, tahniah dan selamat maju jaya diucapkan kepada mahasiswa yang bakal bergraduasi. Terasa ingin sambung belajar pula.

Wacana Perdana Pasca PRU-13: Egois Atau Bena Tak Bena

Wacana yang menarik bagi saya. Sekilas pandang, saya melihat wacana ini ingin menerangkan kepada masyarakat tentang arus pemikiran gerakan-gerakan Islam di Malaysia hari ini. Jika wakil daripada UMNO hadir, pasti perbincangannya lebih kepada nasib orang melayu pasca PRU-13.

Apabila menyebut tentang gerakan-gerakan Islam, terbayang di fikiran kita tentang PAS, ISMA, IKRAM, ABIM dan sebagainya. Namun, apabila menyebut tentang politik yang mutakhir ini jelas memfokuskan kepada PAS dan ISMA.

Baru-baru ini ISMA telah bersepakat untuk menubuhkan biro politik dan berhasrat untuk bertanding atas tiket BERJASA pada PRU-13. Satu langkah yang mengejutkan dan menjadi perhatian buat semua ahli gerakan dari pelbagai latar belakang khususnya di Malaysia.

Dalam wacana ini, ahli masyarakat jelas keliru dengan ISMA. Buktinya, banyak persoalan dilontarkan lebih menjurus kepada ISMA. Itu saya kembalikan kepada sidang pembaca untuk menilai.

Berbalik kepada tajuk wacana.

Sejujurnya, saya sangat tertarik dengan ucapan oleh Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman, selaku setiausaha Biro Politik Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA);

“Kalau PAS tidak mahu bekerjasama dengan UMNO, berkerjasamalah dengan ISMA”

Bagi saya, ini satu kenyataan yang berani!

Telahan umum, jika kita teliti ISMA lebih memfokuskan kepada dakwah dalam kalangan Melayu yang majoriti di Malaysia. Jika kita mempersoalkan tentang pengalaman politik, ISMA jauh terkebelakang daripada PAS.

Maaf jika ada yang berkecil hati dengan kenyataan saya ini.

Sepak terajang politik di Malaysia belum lagi dikuasai oleh ISMA. PAS mutakhir ini dilihat tidak menjenamakan Islam pada luarannya, iaitu pada tawaran Negara Berkebajikan. Banyak orang yang memberi komentar terhadap tindakan PAS yang dilihat sudah lari daripada matlamatnya.

Ini kerana PAS matang dalam berfikir. Pada saya, PAS sudah sedar bahawa bukan hukum Islam yang dicemuh tetapi batang tubuh PAS yang diserang. Sebagai contoh isu kalimah Allah yang hangat diperkatakan sejak dahulu kala. PAS tidak melatah tetapi terus menyatakan pendiriannya.

Soal Perbandingan Umur Gerakan

Secara perkiraan mudah, PAS lebih tua dalam kancah politik berbanding ISMA yang masih belum pernah ada pengalaman. Secara logik akal, jika hasrat untuk memenangi tampuk penguasaan di Malaysia, ISMA perlu sokongan daripada parti yang berpengalaman.

Melainkan, ISMA ingin melakukan eksperimen terlebih dahulu pada PRU-13, kemudian memikirkan soal pemilikan kuasa pemerintahan.

Ternyata pada tindakan pada saya ISMA tidak menjurus ke arah meraih kuasa pemerintahan tetapi pada kajian suasana politik Malaysia pada hari ini. Atas dasar kuasa & pemerintahan yang baik, seharusnya gerakan Islam ini bersatu pada parti yang sama. Pada teras asas konsep berjemaah, adalah konsep bantu membantu.

Bahasa kasarnya adalah, ISMA tidak ubah seperti pelajar sekolah menengah yang masih belum menduduki peperiksaan terbesar. Sedangkan PAS sudah seperti orang tua kepada ISMA. Bukan egois, tetapi saya mengharapkan jawapan seperti itu tidak dilontarkan oleh Wakil ISMA dalam wacana ini.

Sekadar sudut pandang saya yang ingin melihat Negara yang baik diurus tadbir oleh mereka yang jelas pada asas-asas Islam. Melakukan Islah dalam pentadbiran negara yang korupsi, tidak amanah, bocor sana sini.

Fokus semasa adalah mengubah unsur-unsur negatif ini, berbanding terus mencanangkan hukum hakam yang bakal dilaksanakan. Masyarakat sedang menilai isu ini, namun saya tidak menolak aliran pemikiran semasa masyarakat majoritinya sangat takut dengan ancaman pemerintah semasa.

Melawan pemerintah dikatakan salah, namun jika pemerintah melakukan jenayah korupsi tidak pula dilihat salah.

Penyelasaian

Idea gila yang saya ingin bentangkan adalah penggabungan dua entiti ini atas dasar menegakkan daulah Islamiyyah. Namun, sehingga hari ini saya masih keliru samada PAS yang egois mahupun ISMA yang bersikap acuh tak acuh.

Wacana seperti ini perlu diteruskan. Mungkin ada persoalan yang belum dirungkaikan, untuk diterangkan kepada masyarakat. Wacana ini pada saya tidak lengkap, seperti tergantung pada sudut hala tuju gerakan-gerakan Islam.

Fikri,
Bdr. Baru Bangi

Hanya Sedikit Perubahan, Padah Menimpa Gerakan

anak_muda

Hanya Sedikit Perubahan

Berdasarkan senario politik semasa serta iklim gelombang gerakan mahasiswa hari ini menunjukkan pelbagai unjuran perbezaan. Jika kita amati berdasarkan tulisan-tulisan orang terdahulu, video-video yang dilampirkan bersama, soal kuantiti pasti tidak terlepas pandang.

Kenapa kuantiti?

Jika kita lihat di awal 70-an, hanya beberapa kampus, institusi pengajian tinggi sahaja yang wujud. Bilangan penuntutnya juga mungkin sekitar puluhan ribu sahaja. Namun, apabila dibandingkan dengan hari ini, kita dapat lihat bilangannya ibarat langit dan bumi.

Orang dahulu jika tidak berjaya pada peringkat menengah, pasti sukar untuk memasuki peringkat pengajian tinggi. Meskipun mereka punya harapan dan hasrat yang membuak-buak.

Hari ini, Institusi Pengajian Tinggi ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Tumbuh melata di pelbagai daerah, baik IPTAwam mahupun IPTSwasta. Bezanya, anak muda hari ini banyak terkumpul di pusat-pusat pemulihan akibat tindakan yang kurang bermoral terdahulu. Soal kemahuan menyambung pelajaran pasti tidak sama seperti orang terdahulu.

Mahu atau Tidak Mahu, mereka punya pilihan. Jika kurang berjaya diperingkat menengah, mereka punya alternatif di kampus swasta. Bukan saya kata tidak ada, cuma jumlah dan semangatnya tidak sama.

Saya mengakuinya sendiri setelah meneliti susur galur perjuangan anak muda. Pelbagai sumber boleh kita dapati.

Perkaitan kuantiti yang ingin saya bentangkan adalah, gerakan-gerakan mahasiswa suatu ketika dahulu hidup atas dasar perjuangan. Memperjuangkan hak mereka melalui ideologi-ideologi mereka. Hanya sedikit perubahan sahaja diperingkat sistem yang menyebabkan graf gerakan mahasiswa ini semakin merudum.

Kurangnya suara-suara perjuangan, idealism. Sebaliknya, hari ini kita dapat lihat hari ini siswa siswi lebih gemar pada program bertopik cinta ana enti. Mudah kata, lebih dilihat seperti cintan cintun dan jiwang.

Impak Sebuah Gerakan Anak Muda

Jika demonstrasi dilakukan suatu ketika dahulu, itu menunjukkan hak dan kebebasan anak muda menyurakan pandangan mereka dijalanan. Silapnya hari ini, demonstrasi dilihat cenderung kepada pembangkang.

Asal berdemo, “Depa ni geng pembangkang, sebab tu suka berdemo”.

Salah persepsi itu. Parti yang memerintah seperti UMNO-Barisan Nasional juga pernah melakukan demonstrasi. Ini menunjukkan demonstrasi itu ‘wasilah’ dalam menyampai sesuatu, bukan semata-mata dilihat pembangkang.

Baik, kita tolak perbincangan demonstrasi. Balik pada persoalan utama, apakah sebenarnya masalah yang membelengu pemikiran Anak Muda, khususnya mahasiswa untuk lebih proaktif adalah soal cengkaman pihak berkuasa universiti.

Kebetulan, baru-baru ini saya berkesempatan menyertai Voice Of Youth anjuran Ikatan Studi Islam UKM. Dr. Maszlee Malik dijemput untuk mengulas tajuk mengenai “Politik & Mahasiswa”.293167_182310521840229_151709604900321_432458_5445048_n

Menurut Dr. Maszlee, jika beliau dilantik sebagai Naib Canselor Universiti, perkara yang akan beliau laksanakan adalah dengan

  1. Menghapuskan Majlis Perwakilan Pelajar digantikan dengan Kesatuan Mahasiswa/Persatuan Mahasiwa, “Student Union”.
  2. Lucut jawatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEPA di UKM sebagai contoh)
  3. Mahasiswa diberi autoriti menentukan aktiviti mereka, dan pentadbiran Universiti hanya berkuasa dalam memudahkan dan bukan menyenarai hitam nama-nama atau program-program tertentu.

Saya lantas bersetuju dengan kenyataan daripada seorang ahli akademik ini. Saya pasti bukan Dr. Maszlee Malik seorang yang berfikiran sebegitu. Saya juga mendengar suatu ketika dahulu ada pensyarah yang sanggup memberi laluan kepada Sudut Pidato anjuran Gabungan Mahasiswa UKM (sebuah parti politik mahasiswa) dengan melambatkan sesi perkuliahannya.

Mereka menghormati ideologi mahasiwa dan suasana demokrasi.

Secara sinikal, pasti ada yang menyangka saya ini tergolong dalam kalangan yang menolak sistem pendidikan negara hari ini. Tidak sehingga ke situ, pasti menyangka saya tidak ubah seperti pembangkang yang dilihat sangat jumud.

Ada juga yang berpandangan, jika asyik menyalahkan sistem sebaiknya kita berusaha untuk mengubahnya. Namun, suara itu hanya kencang di medan maya bukan di lapangan sebenar. Begitulah senario mahasiwa hari ini, berjuang di lapangan hanya sedikit, tetapi di lapangan maya bagaikan buih di lautan. Banyak tidak terkira.

Hanya kesilapan yang sedikit iaitu dengan mencengkam ideologi mahasiwa, maka kesannya kita dapat lihat perubahan dalam gerakan mahasiswa.

Minda-TajdidMenurut Dr. Muhamad Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA), “Negara yang baik adalah negara yang membentuk civil society atau masyarakat madani”.

Politik hari ini membentuk pemikiran rakyat yang takut terhadap kerajaan.

“Bersyukur lah”

“Kalau kerajaan BN tidak beri, kita tidak akan berjaya hari ini”

Namun, pola politik hari ini tidak mendidik masyarakat. Politik melayu yang mendidik orang melayu takut akan kerajaan. Sebaiknya, pendidikan politik demokrasi seharusnya diberi pencerahan. Malah kesannya memperlihatkan kuasa rakyat adalah lebih besar berbanding kuasa kerajaan.

Rakyat yang menentukan pemerintahan. Sudah pasti pada konteks Islamisasi, jika silap rakyat menentukan pemerintahan yang zalim mahupun seleweng, rakyat sendiri yang akan bersemuka pada keadilan di akhirat kelak!

PRU-13 Menjadi Titik Tolak Perubahan Iklim Politik

Perubahan ini bukan sahaja bakal merubah suasana politik Malaysia, namun impaknya akan memberi kesan yang besar terhadap gerakan-gerakan mahasiswa hari ini.

datuk saifuddin abdullah“PRU13 ialah PRU pertama yang berlangsung setelah kita meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik. Ia sebahagian daripada transformasi politik yang digerakkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Beliau memahami dan mengiktiraf suara dan peranan mahasiswa dalam politik.” – Dato’ Saifuddin Abdullah

Bukan saya ingin berkempen pada mana-mana pihak, namun situasi hari ini memperlihatkan bahawa sudah tiba masanya anak muda berfikir pada 10-20 tahun akan datang. Soal urus tadbir negara, anak muda yang akan menggerakkannya.

Namun, saya sangat kecewa dengan beberapa tindakan pentadbiran universiti yang sebenarnya sudah pun berlaku buat sekian lama, namun sedar pada baru-baru ini. Kuasa Persatuan Mahasiswa UKM sebenarnya sudah lama dicantas, namun usaha perubahan nama daripada PMUKM kepada MPP UKM sengaja dicabar pada zaman pola aliran pemikiran mahasiswa UKM yang tidak berpihak pada pentadbiran universiti.

Bagaimana mungkin mahasiswa ingin mencipta perubahan, apabila kekangan seperti ini masih wujud. Mohon difikirkan bersama.

Sumber untuk dibaca:

 

Sekatan Bukan Jalan Terbaik!

Agenda perubahan mahupun transformasi dari 2 belah pihak dapat kita rasai auranya. Selaku mahasiswa & anak muda, saya khuatir apabila melihat sebahagian daripada generasi muda hari ini lalai dalam menunaikan tanggungjawab mereka.

Ada yang mendakwa, Mahasiswa turun berhimpun dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat perosak negara.

Ada yang mendakwa, Mahasiswa yang tidak turun berhimpun mahasiswa yang lembab dan tidak cakna.

Apapun alasan yang diberikan masing-masing punya pandangan tersendiri. Malaysia sebuah negara demokrasi, namun aura demokrasi itu sendiri tidak menyelinap dalam lubuk hati generasi muda. Sudah lebih 50 tahun merdeka daripada penjajahan barat, namun penjajahan pemikiran pula yang mendominasi.

Kenapa penjajahan pemikiran?

Dalam era globalisasi, kita tidak dapat menyekat kemahuan masyarakat yang sentiasa mengharapkan kerajaan yang berjiwa rakyat. Kerajaan yang sentiasa bersama rakyat. Kerajaan yang sentiasa memahami tanggungjawab mereka terhadap rakyat.

Sekatan bukan jalan yang terbaik untuk mendidik masyarakat. Akibat sekatan juga sebahagian ahli masyarakat melampaui batas yang dirasakan betul bagi sebelah pihak. Contoh terdekat, soal media dan penerangan yang jelas menunjukkan bahawa Malaysia ini sebuah negara yang tidak mengamalkan demokrasi sepenuhnya.

Sebelah pihak dilihat sentiasa betul, sebelah pihak jika dilaporkan berita hanya yang ‘nakal’ sahaja ditunjukkan. Walhal kedua-dua belah pihak ada baik dan buruknya. Hakikat manusia ini tidak sempurna sering melakukan kesalahan. Tidak wajar jika sentiasa dilihat betul demi mempengaruhi masyarakat umum yang tidak ketahui.

Isu Kalimah Allah yang dimulai dengan tuntutan Democratic Action Party (DAP) agar kalimah Allah ditulis dalam kitab Bible. Kata orang, jika disepak terajang sesuatu isu berkaitan Ilmu dalam kancah politik, sememangnya tidak menunjukkan budaya keilmuan. Masing-masing menyediakan buah catur mereka dalam memenangi perang isu.

Lalu, peranan golongan Ilmuwan sangat diperlukan. Amanah yang diberikan kepada golongan ilmuwan sangat berat dalam membentuk masyarakat. Golongan Ilmuwan juga perlu dilihat neutral kerana bimbang dilihat menyebelahi mana-mana pihak.

Namun, hari ini dalam konteks kebebasan bersuara, semua itu tidak pernah berlaku. Masing-masing cepat menghukum, tanpa usul periksa. Tiada penilaian yang matang sebelum melakukan sesuatu keputusan. Ini menjadi kerisauan golongan ilmuan terhadap generasi muda yang punya semangat membara.

Semangat tanpa matlamat yang jelas. Sekadar ikutan itu satu kerisauan yang nyata.

Pada saya, beberapa kenyataan ahli poltik daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat sengaja dilagakan. Demi harga sebuah undi buat Barisan Nasional. Walhal semua jelas bahawa pandangan mereka berbeza pada skop yang berbeza.

Saya sangat bersetuju dengan artikel daripada Dr. Muhamad Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA), beliau menghurai isu kalimah Allah yang sangat tepat pada masanya. Dikala masyarakat memerlukan pandangan seseorang yang luar daripada parti politik. Bukan sahaja tepat pada masa, malah kena pada isinya.

Demi cinta terhadap budaya keilmuan, usah celarukan kefahaman masyarakat kerana terdesak untuk menguasai tampuk pemerintahan. Hanya dengan kebebasan media mampu menyalurkan maklumat yang lengkap buat masyarakat. Tidak pula maklumat itu ditapis sedikit demi sedikit, kerana maklumat itu pasti mengelirukan masyarakat, lebih-lebih lagi perihal kalimah Allah.

Sewajarnya, media arus perdana perlu berlaku adil dalam penyebaran maklumat. Bukan dialog yang melibatkan kroni dan sekutu mereka sahaja. Matlamat akhir hanya satu, menjatuhkan imej parti yang mereka benci.

Mahasiswa Tuntut Perubahan.

Berlapang Dada, Benteng Menjaga Hati

Realiti kehidupan masyarakat hari ini jelas menantikan sesuatu perubahan atau pembaharuan (tajdid). Namun sifat ketakutan akibat pengalaman lepas, masyarakat sering dimomokkan oleh satu kelompok masyarakat yang sentiasa bersangka buruk terhadap satu kelompok yang lain.

Bagi saya, kuasa keyakinan dan kepercayaan itu sangat hebat! Anak yang kecil, sangat bergantung harap pada ibubapanya. Anak kucing sering mengekori setiap langkah ibunya. Segala tingkah laku seseorang yang bergelar ibubapa akan diikut oleh anak-anak.

Ibubapa juga sewajibnya melaksanakan tanggungjawab mereka sehabis baik. Segala tingkah laku harus positif meskipun wujud kekurangan dalam diri. Bimbang jika negatif lebih positif, produk yang akan kita lihat adalah susahnya anak-anak ini mengikut segala arahan malah melawan cakap!

“Pandai pula kau menjawab sekarang!” bentak ibu kucing kepada anaknya.

Kesatuan dalam keluarga harus dipupuk sejak daripada awal. Kita sering didedahkan dengan cerita seorang ibu mampu menjaga anak-anaknya yang sebanyak 10 orang, malah ada yang lebih daripada itu.

Ketakjuban kita itu juga ditambah dengan 10 orang anak itu belum tentu mampu menjaga ibunya pula pada masa tuanya.

Jadi, matlamat cerita ini?

Satu perkongsian daripada sahabat saya, seorang pimpinan dalam Ikatan Studi Islam UKM 2012-2013, kini merangkap Timbalan Setiausaha Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Sahabat ini lebih selesa saya gelar sebagai seorang kakak, memandang jarak umur yang jauh.

“Mungkin apa yang berlaku pada hari ini adalah sebagai ujian buat kita. Sebelum ini Allah beri peluang kepada kita dengan kekuatan yang sangat banyak. Banyak orang di sekeliling kita, pelbagai bantuan dan sumbangan yang pelbagai bentuk dapat diberikan.”

Kita bimbang akan sumbangan yang pernah wujud sebelum ini hilang begitu sahaja. Tetapi kita tidak pernah bimbang sumbangan yang kita berikan kepada orang lain. Pokoknya, kita tidak dapat mengikis sifat pejuang yang berasaskan semangat bukannya berdasarkan kefahaman.

Kita lebih mengharapkan orang memberi kepada kita, malah peratusan pengharapan itu lebih tinggi daripada peratusan pemberian.

Namun apabila dinasihatkan, kita sangat keras kepala untuk menerima teguran itu. Ini kerana perasaan “aku sudah betul, aku sudah melakukan apa yang perlu aku lakukan. Banyak sumbangan aku ni, mereka tidak nampak rasanya”.

Kita mudah melenting dan mengkritik, berbanding menerima kritikan orang lain. Saya akui, perkara itu sangat sukar untuk dilakukan pada saat kita merasa kita sangat betul, orang lain salah.

Semasa kecil dahulu, lembutnya hati kita dalam menerima didikan yang pelbagai bentuk daripada ibubapa. Namun, seiring peningkatan usia, hari ini kita tidak dapat mengelak bahawa hati ini seakan  membalas dendam terhadap lembutnya kita menerima teguran ibubapa semasa kecil.

Ada seorang kawan berpuluh kali saya kritik atau saya tegur dia, tapi hebatnya dia sebab sentiasa menerima kritikan dan tidak pernah membalas kritikan saya. Kadang-kadang dia serba salah dibuat saya.

Barangkali orang hormat kita kerana suka bagi teguran walaupun pahit, tapi hakikatnya yang menerima teguran itu lebih layak dihormati kerana dia akur menerima teguran sekalipun ia perit.

Manusia Biasa

Saya juga manusia biasa. Malah saya masih ingat lagi pada malam yang sangat perit bagi saya. Pertama kali saya rasakan bahawa saya ini sangat tidak berguna. Mereka mendakwa saya diberi tanggungjawab tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab sebaiknya.

Hari ini 29 November 2012, saya mendapat banyak kata-kata yang berkaitan hati. Seorang kawan bercakap tentang hati, kawan lain juga menyebut soal hati.

“…menyedari kesilapan sendiri lebih baik berbanding menegur kesalahan orang lain…”

“Berlapang dada untuk segala hikmah & ujian, salah satu benteng untuk menjaga hati ♥”

“Sesiapa yang yakin kepada Allah dan hari akhirat, dia perlu bercakap yang baik-baik atau diam sahaja.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

p/s : Orang yang mudah ditegur lama-kelamaan menjadi hebat,
Orang yang payah ditegur lama-kelamaan hati berkarat.

Ya Tuhanku!, Tegur & Nasihatkanlah hambamu ini.

FIKRI
43650 BBB

Anak Muda Akhir Zaman

Episod kehidupan seorang hamba tidak akan sentiasa dihiasi suka-suka sahaja, pasti ada pasangannya iaitu duka. Setiap perkara, makhluk yang diciptakan Allah ini ada pasangannya. Maka, setiap ciptaan Ilahi ini pasti juga tidak ada yang sempurna melainkan dengan izin Allah.

Pernah juga terdetik di hati apabila memikirkan soal diri yang tidak sempurna, punya cacat cela. Biarpun sempurna anggota, setiap daripada kita pasti punya kekurangan yang membataskan segala perlakuan kita.

Ada orang, mampu menulis 1000 patah perkataan dalam tempoh satu jam.

Ada orang mampu mengingati sesuatu perkara dengan hanya sekali imbas sahaja.

Ada orang mampu memiliki sebuah kereta Toyota Vios dikala usia seusia Sultan Muhamad Al-Fateh menawan Konstantinopel!

Realiti masyarakat hari ini sentiasa mengimpikan sebuah kehidupan yang sempurna. Tidak dinafikan terdapat beberapa aset yang dilabelkan sebagai satu keperluan masa kini.

Tiada wang, makan pakai pasti tidak terurus.

Tiada kereta atau motorsikal, pasti membataskan pergerakan untuk mencari rezeki, ke sana dan ke mari.

Anak-anak kecil sering dimomokkan dengan ungkapan, “Kalau tidak belajar tinggi-tinggi, nanti merempat bawah jambatan!”. Bukan saya ingin mengatakan perkara ini tidak penting.

Penting untuk menasihati anak-anak supaya mengutamakan pelajaran, tetapi alangkah molek jika sesuatu itu digambarkan secara positif. Suntik ruh “Ikhlaskan niat” dalam diri anak-anak. Hanya keikhlasan yang akan berterusan.

“Kamu dulu bukan cenderung Fizik ye Fikri? Kenapa ambil bidang biologi?” kata seorang guru fizik saya semasa tingkatan 5, cikgu Jafni Ghazali. Cikgu Jafni merupakan guru yang saya sangat hormati, kerana cita-cita dan cintanya terhadap budaya keilmuan saintifik sangat mendalam. Saya kagum!

“Kalau cenderung tetapi minat bidang lain, nak buat macam mana cikgu. Mungkin ada perkaitannya kelak, InshaAllah” ringkas saya membalas.

“Ibubapa hari ini berbeza dengan ibubapa beberapa tahun yang lalu” ungkapan oleh seorang yang prihatin terhadap situasi masyarakat hari ini.

Saya membenarkan kata-kata itu dalam merujuk artikel saya sebelum ini, Mengimpikan Remaja Palestin Versi Malaysia. Emak saya yang merupakan guru di sekolah, pelbagai isu di sekolah kami bincang di rumah.

Punca dan solusi yang mungkin boleh dikongsikan bersama menjadi topik perbincangan dalam membina peribadi diri masing-masing. Baik orang tua saya mahupun diri saya sendiri.

Realiti hari ini, ada ibubapa yang tidak kisah anak-anak tidak ke sekolah. Tidak kisah kepentingan Ilmu dalam kehidupan.

Siapa saya untuk kritik ibubapa yang tidak kisah anak ke sekolah? Seorang yang masih belum punya isteri, keluarga sendiri hatta anak-anak. Saya tiada lagi pengalaman tersebut, namun itu bukan syarat penuh untuk memberi komen terhadap gejala sosial hari ini yang kian meruncing.

Saya adalah ahli masyarakat yang sedih melihat anak muda hari ini kian hanyut tanpa bimbingan. Anak muda hari ini terkenal dengan kes buang anak, pergaulan bebas, ingkar arahan guru, biadap dengan ibubapa dan sebagainya.

Realiti hari ini, terbalik!

Anak muda yang dikatakan salah dan biadap adalah anak muda yang turun berdemonstrasi, menyatakan perasaan secara terbuka di khalayak ramai. Anak muda yang turun menegur di taman-taman rekreasi dikatakan tiada adab dalam menegur, sesuka hati campur urusan orang lain.

Anak muda hari ini adalah pelapis, orang yang bertanggungjawab hari ini perlu menyediakan persediaan yang secukupnya buat anak-anak. Bertanya kepada sesiapapun, pasti jawapan kepada “Dimanakah permulaan sistem we share we care ?” adalah di rumah.

Generasi ibubapa hari ini sebenarnya ditanam dengan pendirian yang teguh oleh ibubapa zaman lalu. Generasi anak muda hari ini ditanam pula oleh generasi ibubapa hari ini.

Dunia ibarat putaran roda. Saya bimbang jika perhatian yang kurang daripada ibubapa hari ini, memberi kesan kepada generasi anak muda akan datang yang akan menjadi ibubapa pula.

“Akta di Britain tidak membenarkan anak-anak bawah 18 tahun keluar selepas jam 7 malam” kata Johari lagi.

“Malaysia bebas, aplikasi hak asasi manusia. Rakyat bebas bergerak, Malaysia tidak jumud. Rakyat mengerti untuk mendidik anak-anaknya” balas Sabahan dengan tegas.

FIKRI
43650, BBB

Indah Hidup Bersyarat

“Ish! Makin teruk pula mak tengok kulit Fikri ni” – tegas mak kerana risau akan keadaan anaknya.

Beberapa bulan yang lepas, saya sempat ke klinik pakar kulit Az-Zahrah berdekatan dengan Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi. Itu pun hasil desakan dan tuntutan rasmi oleh mak.

Setelah ke klinik, penyakit Discoid Eczema ini beransur pulih. Namun hanya seketika, timbul kembali pada parut yang lama.

Selagi parut itu masih wujud, saya boleh gambarkan betapa sakitnya seperti dihiris dengan pisau. Pedihnya pada ketika luka itu masih basah.

Kali ini, mak kata;

“Ni kena pantang makan ni” – pesan mak sewaktu pulang ke rumah di hujung minggu.

“Baik mak” ringkas dan seperti endah tidak endah sahaja. Allahu rabbi~

“Jangan makan ayam, ikan yang berbisa dan …..” tambah mak lagi.

“Ayam? Makanan kegemaran tu” terdetik hati ketika itu. Ketika itu, saya berbelah bagi. Pergi kedai makan, majoriti ayam menjadi pilihan. Tiap-tiap hari makan ayam.

Dua minggu selepas itu, kembali ke rumah dengan keadaan yang bertambah teruk. Kali ini luka bertambah di tangan kiri pula. Sebelum ini, hanya kaki dan tangan kanan. Inilah akibat tidak mendengar cakap katanya.

Pada satu tahap, adakalanya hati sentiasa bertegas untuk melakukan sesuatu meskipun mendapat halangan.

“Fikri, dengarlah cakap mak. Jangan makan ayam sekarang ni, berpantang dulu” pesan mak dengan riak muka yang agak marah sedikit. Mungkin saya sengaja mencabar kata-kata mak.

Sejak dari itu, hari ini luka beransur kering. Luka yang basah, hari ini hanya perlu disapu krim untuk melicinkan permukaan kulit. Berkat mengikut kata seorang ibu.

Kesakitan itu, adakalanya ditujukan buat insan yang degil untuk mendengar sesuatu pesanan. Kesakitan juga sebagai alat untuk diampunkan dosa-dosa yang kecil.

Kesakitan juga sebagai had, petanda dari yang Esa buat hamba yang gagal berhubung, makin jauh daripada Allah.

Kesakitan juga menjadi wadah pendekat hati-hati yang dahulu dekat pada tuhannya, tetapi selangkah demi selangkah jauh dari tuhannya

Ajaib! Tetapi begitulah pedoman buat insan yang sentiasa lupa. Manusia memang tidak pernah sempurna selain Rasulullah SAW.

Kita diajak untuk mengingati mati, kerana dengan mati itu pelbagai pengajaran yang boleh dijadikan pedoman. Jangan takutkan mati, kerana itu adalah sesuatu yang pasti berlaku pada masa hadapan.

Selain mati, kita tidak tahu apa-apa yang bakal berlaku.

Kematian makhluk yang bernyawa itu sesuatu yang pasti. Kita merancang untuk melakukan itu, melaksanakan ini. Sedar ataupun tidak, semua itu belum pasti kerana terdapatnya urusan hubungan makhluk dan penciptanya.

Boleh jadi apa yang kita rancang itu, benar-benar berlaku. Jika tidak berlaku, itu semua ketentuan Allah. Belajar untuk kenal kehidupan dengan membaca kehidupan. Kehidupan buat pedoman generasi akan datang.

Anak-anak ini perlu di didik sejak dari pada kecil, dari rumah. Ketika itu yang berperanan adalah ibubapa. Kita tidak dapat menolak wujudnya anak yang tidak dengar cakap, susah diberi penjelasan. Semakin dilarang semakin agresif perlakuan yang ditegur.

Anak-anak jika tidak ditegur sejak dari kecil adalah sesuatu yang merugikan.

Kenapa rugi?

Ketika kecil, anak-anak ini mendapat pesanan, perlindungan secara terus daripada ibubapa. Ibubapa perlu memainkan peranan secara efektif, mengambil peluang untuk memikul tanggungjawab & amanah ini.

Anak-anak ini amanah Allah. Ketika kecil, kebergantungan terhadap ibubapa sangat tinggi. Hendak meminta apa, ibubapa juga tempat mereka meminta. Didik anak-anak perkara yang betul dan perkara yang salah.

Jika tidak dididik ketika kecil, apabila sudah besar, bertemu banyak kawan, pasti akan mewujudkan konflik. Konflik “betul & salah”, mereka tidak tahu mana yang betul dan salah. Ketika kecil tidak diajar.

Bila diajak oleh rakan-rakan mereka untuk melakukan sesuatu, anak-anak ini pasti tidak akan menolak. Tiada pertembungan betul & salah.

Sememangnya indah hidup bersyarat.

FIKRI
43650 Bangi

Mengimpikan Remaja Palestin Versi Malaysia

“Aku sedih tengok remaja sekarang, lagi-lagi kat belakang aku ni”

kata Ahmad sambil merujuk kepada meja yang diduduki sekumpulan remaja.

Ahmad sudah pun mengisi perut di kedai yang sama sebelum maghrib tadi, sekadar menemani saya makan malam seorang. Remaja itu masih di meja mereka walaupun banyak jemaah surau sudah beransur keluar usai menunaikan solat berjemaah.

Bila soal hati sering dikaitkan dengan permasalahan fizikal, berlaku liar, hilang pertimbangan, semuanya perlu kembali ke pangkal jalan. Perlu mencari sumber permasalahan. Hati remaja selari dengan usianya, pasti tergerak hati untuk melakukan sesuatu.

remaja [credit : erylife.blogspot.com]

Semua perkara pasti dicuba, meskipun mendapat pelbagai halangan mahupun cabaran. Setiap daripada kita juga pernah merasai nikmat menjadi seorang remaja.

Kita pasti akan terkenang perkara yang tidak pernah dijangka oleh kita untuk melakukan perkara tersebut ketika itu.

Boleh kata,

“entiti apa yang merasuk pemikiran ku untuk melakukan sebegini rupa”.

Mujur diberi kesempatan untuk sedar dan berubah. Banyak kisah yang kita pernah dengar dan lihat sendiri di depan mata bagaimana insan yang rapat dengan kita berubah. Berubah daripada yang kurang baik kepada yang baik.

Malu rasanya ingin mengungkit kisah silam, tetapi cukup sekadar memberi pengajaran buat generasi akan datang.

Mana yang baik kita teruskan, mana yang tidak baik kita elakkan.

Tidak semua perkara yang terjadi pada kita ini, kisahnya sama dengan apa yang menimpa pada orang lain. Setiap orang pasti berbeza ceritanya. Sedih melihatkan generasi muda hari ini, jika kita lihat perangainya tidak ubah seperti apa yang kita pernah lakukan.

Mungkin tidak sama secara keseluruhan, tetapi ‘jalan’ adalah sama. Ke arah melakukan sesuatu yang kurang elok untuk dilihat oleh mata. Dilihat oleh jiwa yang mempunyai kesedaran sivik.

Saya sangat tidak setuju, jika remaja secara sepenuhnya dipersalahkan akan tindakan yang mereka lakukan. Hakikat kehidupan kita ini ibarat putaran roda. Semua orang sedar akan perkara ini.

Cuma sebagai manusia biasa, kita tidak akan terlepas daripada penyakit lupa. Berita di dada akhbar, di kaca televisyen, di corong-corong radio seolah-olah menyebarkan fahaman “Remaja harus dipersalahkan”.

Bukan pula mengajak masyarakat untuk berfikir ke arah menyelesaikan masalah ini. Semakin diberitakan semakin bertambah pula deritanya. Bagaikan mengambil dadah, tiada hilang rasa ketagihnya.

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong?. (Sahih Muslim : 4803)

Kita juga biasa dengar peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Bagi saya, peribahasa ini merujuk kepada peranan institusi keluarga dalam menerapkan elemen-elemen moral yang murni.

Gagal peranan ibubapa, maka gagal juga produk yang dihasilkan yakni anak-anak. Biarpun biah (suasana) dirumah sudah sedia elok, baik dari sudut penerapan rohani mahupun jasmani, itu tidak menjamin 100% sahsiah yang tinggi pada anak-anak.

Kita terlupa wujudnya satu lagi elemen yang memberi penangan yang besar terhadap kehidupan remaja. Faktor persekitaran itu kunci penentu sifat sebenar seorang remaja.

Faktor pemilihan rakan sebaya ini mencerminkan kehidupan seorang remaja. Jika baik rakannya, maka baiklah diri mereka, In Sha Allah.

“saya dah didik anak saya, makan pakai cukup, hantar pula ke sekolah agama. Tiba-tiba hari ini, cikgu panggil saya, kata anak saya ini buat perangai tidak elok di sekolah. Di rumah elok saya tengok, tiada pun masalah yang macam cikgu beritahu ini”

Mendidik remaja memerlukan perhatian yang lebih, saya sendiri mengakuinya. Ketika remaja ini macam-macam perkara difikirkan. Jauh disudut hati hendak melakukan itu, hendak mencuba ini.

Bagi saya adalah menjadi satu kesalahan dengan meletakkan kepercayaan 100% untuk mendidik remaja pada guru di sekolah. Ibubapa juga turut mempunyai saham mereka, kuat cabaran guru kerana di sekolah bukan seorang anak murid yang perlu diberi perhatian.

Bayangkan seorang guru perlu mengawal atur segala tingkah laku 40 orang dalam satu kelas. Bahkan lagi menyayat hati jika terlintas dibenak pemikiran ibubapa, guru-guru adalah ibubapa mutlak di sekolah.

Guru-guru seperti diibaratkan seorang pelari gantian, menggunakan baton sebagai peralihan kuasa. Melepaskan sepenuh tanggungjawab kepada guru-guru. Segala masalah yang timbul, guru sahaja yang salah.

Usah berbicara untuk melihat remaja Malaysia seiras remaja Palestin. Kita sendiri perlu bersama untuk memastikan golongan remaja ini tidak terpinggir. Tidak terus hanyut. Kita ingin melihat generasi muda ini seperti Sultan Muhamad Al-Fateh, tetapi adakah sudah cukup usaha kita?

Masa muda ni lah kita belajar untuk kenal siapa diri kita sebenar. Kita lakukan apa, suka hati kita. Bila sudah tua, sudah tidak berdaya apa-apa baru mula ingin bertaubat. Mujur jika Allah beri masa untuk bertaubat & kenang semuanya. Allahu Rabbi~

FIKRI
43650 Bangi