Wacana Perdana Pasca PRU-13: Egois Atau Bena Tak Bena

Photo of author

Fikri Mastor

1 Comment

Catatan

Wacana yang menarik bagi saya. Sekilas pandang, saya melihat wacana ini ingin menerangkan kepada masyarakat tentang arus pemikiran gerakan-gerakan Islam di Malaysia hari ini. Jika wakil daripada UMNO hadir, pasti perbincangannya lebih kepada nasib orang melayu pasca PRU-13.

Apabila menyebut tentang gerakan-gerakan Islam, terbayang di fikiran kita tentang PAS, ISMA, IKRAM, ABIM dan sebagainya. Namun, apabila menyebut tentang politik yang mutakhir ini jelas memfokuskan kepada PAS dan ISMA.

Baru-baru ini ISMA telah bersepakat untuk menubuhkan biro politik dan berhasrat untuk bertanding atas tiket BERJASA pada PRU-13. Satu langkah yang mengejutkan dan menjadi perhatian buat semua ahli gerakan dari pelbagai latar belakang khususnya di Malaysia.

Dalam wacana ini, ahli masyarakat jelas keliru dengan ISMA. Buktinya, banyak persoalan dilontarkan lebih menjurus kepada ISMA. Itu saya kembalikan kepada sidang pembaca untuk menilai.

Berbalik kepada tajuk wacana.

Sejujurnya, saya sangat tertarik dengan ucapan oleh Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman, selaku setiausaha Biro Politik Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA);

“Kalau PAS tidak mahu bekerjasama dengan UMNO, berkerjasamalah dengan ISMA”

Bagi saya, ini satu kenyataan yang berani!

Telahan umum, jika kita teliti ISMA lebih memfokuskan kepada dakwah dalam kalangan Melayu yang majoriti di Malaysia. Jika kita mempersoalkan tentang pengalaman politik, ISMA jauh terkebelakang daripada PAS.

Maaf jika ada yang berkecil hati dengan kenyataan saya ini.

Sepak terajang politik di Malaysia belum lagi dikuasai oleh ISMA. PAS mutakhir ini dilihat tidak menjenamakan Islam pada luarannya, iaitu pada tawaran Negara Berkebajikan. Banyak orang yang memberi komentar terhadap tindakan PAS yang dilihat sudah lari daripada matlamatnya.

Ini kerana PAS matang dalam berfikir. Pada saya, PAS sudah sedar bahawa bukan hukum Islam yang dicemuh tetapi batang tubuh PAS yang diserang. Sebagai contoh isu kalimah Allah yang hangat diperkatakan sejak dahulu kala. PAS tidak melatah tetapi terus menyatakan pendiriannya.

Soal Perbandingan Umur Gerakan

Secara perkiraan mudah, PAS lebih tua dalam kancah politik berbanding ISMA yang masih belum pernah ada pengalaman. Secara logik akal, jika hasrat untuk memenangi tampuk penguasaan di Malaysia, ISMA perlu sokongan daripada parti yang berpengalaman.

Melainkan, ISMA ingin melakukan eksperimen terlebih dahulu pada PRU-13, kemudian memikirkan soal pemilikan kuasa pemerintahan.

Ternyata pada tindakan pada saya ISMA tidak menjurus ke arah meraih kuasa pemerintahan tetapi pada kajian suasana politik Malaysia pada hari ini. Atas dasar kuasa & pemerintahan yang baik, seharusnya gerakan Islam ini bersatu pada parti yang sama. Pada teras asas konsep berjemaah, adalah konsep bantu membantu.

Bahasa kasarnya adalah, ISMA tidak ubah seperti pelajar sekolah menengah yang masih belum menduduki peperiksaan terbesar. Sedangkan PAS sudah seperti orang tua kepada ISMA. Bukan egois, tetapi saya mengharapkan jawapan seperti itu tidak dilontarkan oleh Wakil ISMA dalam wacana ini.

Sekadar sudut pandang saya yang ingin melihat Negara yang baik diurus tadbir oleh mereka yang jelas pada asas-asas Islam. Melakukan Islah dalam pentadbiran negara yang korupsi, tidak amanah, bocor sana sini.

Fokus semasa adalah mengubah unsur-unsur negatif ini, berbanding terus mencanangkan hukum hakam yang bakal dilaksanakan. Masyarakat sedang menilai isu ini, namun saya tidak menolak aliran pemikiran semasa masyarakat majoritinya sangat takut dengan ancaman pemerintah semasa.

Melawan pemerintah dikatakan salah, namun jika pemerintah melakukan jenayah korupsi tidak pula dilihat salah.

Penyelasaian

Idea gila yang saya ingin bentangkan adalah penggabungan dua entiti ini atas dasar menegakkan daulah Islamiyyah. Namun, sehingga hari ini saya masih keliru samada PAS yang egois mahupun ISMA yang bersikap acuh tak acuh.

Wacana seperti ini perlu diteruskan. Mungkin ada persoalan yang belum dirungkaikan, untuk diterangkan kepada masyarakat. Wacana ini pada saya tidak lengkap, seperti tergantung pada sudut hala tuju gerakan-gerakan Islam.

Fikri,
Bdr. Baru Bangi


Check out Sendy, a self hosted newsletter app that lets you send emails 100x cheaper via Amazon SES.

Newsletter

Mahu Dapatkan Info Pantas?

Langgan email secara percuma. Mana tahu ada tawaran istimewa!


1 thought on “Wacana Perdana Pasca PRU-13: Egois Atau Bena Tak Bena”

  1. saya bersetuju dengan kenyataan ini “Secara perkiraan mudah, PAS lebih tua dalam kancah politik berbanding ISMA yang masih belum pernah ada pengalaman. Secara logik akal, jika hasrat untuk memenangi tampuk penguasaan di Malaysia, ISMA perlu sokongan daripada parti yang berpengalaman.”

    Reply

Leave a Comment