Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Setiap hari kita sentiasa mengharapkan untuk terus diberi peluang memperbaiki diri. Meningkatkan kemahiran dalam meluaskan ruang sesuatu peluang.
Kadang kala dalam saat dan ketika iman dalam diri ini menurun, semangat yang semakin luntur, kita merasa sangat terbeban. Hidup seakan tidak kena sahaja.
Bertubi-tubi rintangan datang menghadang, ujian menimpa diri bak bongkah batu jatuh dari aras 6 bangunan Menara Kuala Lumpur.
“Ah! Perit sungguh.”
Namun, percayalah saat kita sudah pun melepasi zon ujian tersebut atau berada di zon peralihan antara ujian, kita akhirnya akan mengucapkan syukur.
Alhamdulillah.
[youtube=https://www.youtube.com/watch?v=eaTXaL4nX88]
Aqidah dan Perjuangan
Suka saya berkongsi kisah dua orang muslimat, adik kepada tokoh gerakan Islam yang dikenali dengan kitab penulisan beliau, Tafsir Fi Zilalil Quran.
Dua muslimat tersebut bernama, Hamidah Qutb dan Aminah Qutb. Tokoh harakah Islam tersebut tidak lain dan tidak bukan iaitu Asy-Syahid Sayyid Qutb.
Asy-Syahid Sayyid Qutb seorang yang aktif dalam pergerakan Ikhwan Muslimin di Mesir. Saat di tahan di penjara, ketika adik perempuan yang sentiasa menyanjungi perjuangan si kekanda, beliau sempat menulis sepucuk surat sebelum menerima hukuman gantung sampai.
Pendapat saya surat tersebut bukan sahaja mempunyai roh perjuangan. Nilai taujihad yang diberikan melalui kata-kata kepada dua muslimat tersebut sangat memberi semangat kepada segenap pejuang keadilan.
Memetik kata-kata beliau;
“Wahai adikku, barangkali sekarang ini engkau sedang melihat dengan gerun tali gantung yang akan menjerut leherku. Kita akan merasakan perjuangan kita ini sempit apabila kita memikirkan bahawa kita yang memulakan perjuangan dan kita yang akan mengakhiri perjuangan ini tetapi apabila kita memikirkan bahawa bukan kita yang memulakan perjuangan ini dan bukan kita yang menamatkannya, maka ketika itu terasalah bagaimana luasnya perjuangan kita, bagaimana luasnya keluarga kita kerana keluarga kita bukan keluarga yang diikat oleh keturunan darah tetapi keturunan yang diikat oleh kesatuan akidah La Ilaha Illallah Muhammad Rasulullah.”
Allahu Rabbi!
Kesatuan akidah yang memperjuangkan nilai agama berbanding nasab keturunan darah semata-mata, sesuatu yang sukar untuk dilihat di bumi Malaysia. Ada tetapi tidak banyak yang ingin bersama.
Andai kata jalan juang ini mudah ibarat menelan sebiji gula-gula, pasti banyak orang yang berebut untuk berjuang.
Hasil didikan penjajah sangat memberi kesan. Pendek kata, matlamat jangka panjang yang dihasratkan oleh penjajah ketika itu telah pun mencapai targetnya.
Mari kita bersama mantapkan diri, tingkatkan kefahaman terhadap sesuatu perkara. Biarlah kita berada di posisi apa sekali pun, sebagai pensyarah, penyelidik, matlamat untuk meletakkan Islam sebagai keutamaan yang utama perlu dilaksanakan.
Keutamaan yang utama, sudah diutamakan namun perlu pula ditambah utama di penghujung ayat. Nilai ketegasan yang ingin disampaikan telah menunjukkan betapa besarnya nilai sesebuah agama dalam kehidupan.
Tarbiyah bukanlah segalanya, namun segalanya bermula dengan tarbiyah. Tarbiyah bukan sahaja bersifat ruhiyyah semata-mata, namun tabiyah sangat menyentuh aspek pembinaan diri.
Didik hati untuk bersikap, mudah-mudahan Allah sentiasa bersama kita.
Berikan ku peluang ya Allah!
Semoga sahabat dan diri ini terus thabat dalam jalan juang ini. Semoga kami terus tergolong dalam golongan yang ingin memenangkan Islam di atas muka bumi ini, dan bukan sahaja seseorang yang hanya ingin melihat kemenangan Islam. Ameen. Allahu Akbar!