Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
[youtube=https://www.youtube.com/watch?v=6-OtuuV9IqA]
Banyak perkara yang saya pelajari di awal semester ini, soal pengurusan masa, soal keintelektualan, soal hati, dan yang paling penting adalah soal kehidupan.
Kehidupan sebagai seorang pelajar atau mahasiswa (peringkat saya sekarang), sangat menuntut komitmen yang tinggi. Soal keperluan sangat dititik beratkan berbanding kemahuan.
Percaya atau tidak, sekali pun kita merasa sesuatu perkara yang kita rasa perlu untuk di capai tetapi tidak tercapai. Kenapa? Contoh, sebagai mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi kita teringin untuk mencapai keputusan yang cemerlang.
Paling cemerlang dalam kalangan sahabat-sahabat kita. Namun, tidak kesampaian semasa menyemak keputusan akhir semester. Mula lah;
“Aku berazam untuk lebih baik semester depan”
“Aku target paling kurang semester depan harus capai 3.5 ke atas”
“Aku banyak lalai semester lepas, lalai mengingati Allah, sombong dengan sahabat”
Apa pun persepsi yang kalian luahkan pada diri sendiri, semuanya akan berbalik kepada pendirian anda. Cerita di awal semester, sangat ceria.
Perkuliahan
Memetik kata-kata seorang pensyarah Ekologi Air Tawar, Dr. Ahmad Bin Ismail. Kata beliau,
Tanpa ikatan hidrogen, pasti kita tidak dapat mandi.
Apa yang saya ingin tafsirkan dari ayat di atas adalah soal mengenepikan kepentingan diri sendiri dan peduli akan keadaan orang lain yang lebih memerlukan.
Kisah benar yang paling dekat dengan kita, hakikat penghasilan sehelai baju. Setiap hari kita mengenakan pelbagai jenis dan warna baju untuk ke kuliah, masjid, hatta semasa tidur.
Pakaian tersebut memperlihatkan hakikat kebersamaan dan kelengkapan. Sebelum baju dapat dihasilkan, sumber yang paling penting adalah kapas, dan kapas ini juga didapati pada pokok kapas.
Tanpa kapas, benang tidak dapat dihasilkan. Tanpa benang, kain tidak dapat diwujudkan. Tanpa kain, pasti umat manusia akan menggigil. Menggigil kerana kesejukan, kadang kala ada juga yang menggigil kerana ketakutan.
Apabila kita mempersoalkan hakikat kelengkapan, tidak dapat tidak kita sedang berbicara mengenai apa yang kita mampu beri.
Kelebihan yang ada pada diri sendiri pasti tidak terdapat dalam diri sahabat yang lain. Soal motivasi yang tinggi, kecekalan dalam menghadapi dugaan, kewangan dan sebagainya.
Percaturan dan rencana Allah azza wajalla sangat teratur. Sebaik rencana adalah Allah, sebaik mana kita merancang untuk melakukan sesuatu, hakikat yang pasti adalah kuasa penentu Allah Taala.
Berkongsi setakat termampu
Perkongsian kewangan pasti tidak mampu untuk diberi, dorongan moral pun di kira memberi. Kita silap dalam menilai, antara kemahuan dan keperluan.
Kadang kala, menjadi rojak akibat tercampur secara berlebihan. Malah, kita tidak sedar bahawa dua perkara ini sangat berlainan.
Masalah kita yang paling besar adalah kita tidak tahu apa masalah kita.
Setiap hari ada sahaja isu yang berbangkit, pengalaman yang baru dihadapi, namun iktibar daripada perkara tersebut jarang kita dapati secara terus pada saat itu.
Apa pun, semoga dengan suka duka pada hari ini dan semalam mencorakkan kehidupan yang lebih baik pada hari esok dan seterusnya.
Bergerak untuk berubah