STAB 2322 : Genetik Kuantitatif

Photo of author

Fikri Mastor

No Comments

Catatan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Sikap tegas dalam sesuatu perkara sangat di tuntut, kerana sikap yang biasa dengan kita sebagai manusia biasa adalah sikap mengambil mudah akan sesuatu perkara.

Namun, dalam ketegasan itu juga ada segelintir daripada kita ini kurang menyenangi sikap ketegasan ini.

Post ini bukan bertujuan untuk membodek apatah lagi memandang jelek sikap seseorang.

Suka saya kongsi satu perkara, ketika kita masih di bangku persekolahan. Hadir ke sekolah perlu menepati masa. Jika sesi persekolahan bermula jam 7:30 pagi, 7:25 pagi wajib terpacak di tapak perhimpunan atau berada di dalam kelas. Tidak dapat tidak, kita perlu mematuhi peraturan dengan hati yang terbuka.

Bahkan, jika terlewat 1 minit pun sudah di kira kesalahan, tetapi saya kira zaman persekolahan saya dahulu pengawasnya tidak lah kejam sangat. Kesungguhan itu yang perlu dizahirkan.Sempat lagi berlari sebelum pagar ditutup.

Genetik adalah faham.

Apa kaitan zaman sekolah dengan genetik kuantitatif?

Meskipun kebanyakan orang sering menganggap saya sering menghukum sesuatu perkara secara zahir atau lahiriah. Terpulang jika dianggap sebagai persepsi saya pun tidak kisah. Namun, ini adalah apa yang saya rasai dan hayati sendiri

Tiada kaitan secara terus antara zaman persekolahan dengan subjek genetik kuantitatif. Bahkan subjek di sekolah jauh lebih mudah daripada subjek di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Mudah kerana kita berada di peringkat IPT, sudah tentu wujud perbezaan tahap pendidikan. Tahap aliran pemikiran juga pasti berbeza.

Pendek kata, diri kita ini bersifat fleksibel. Buktinya, kita dapat lihat dari sudut kesesuaian kita untuk berpindah dari tempat lama ke tempat baru. Wujud evolusi dan beberapa proses sebelum kita mencapai tahap keseimbangan akan sesuatu keadaan.

Setelah 1 semester berada dalam modul genetik, saya sedar akan satu perkara. Biologi bukan bidang untuk manusia yang suka menghafal segala teori, meskipun ada dalam kalangan kita ini sering menghukum;

“Biologi ini untuk orang yang kuat menghafal”

Biologi tidak begitu, hatta modul-modul seperti haiwan dan tumbuhan juga melibatkan perkara yang sama, iaitu aspek kefahaman. Saya pasti setiap subjek atau kursus yang lain, baik di peringkat sekolah mahupun di peringkat IPT, perkara yang sepatutnya dikuasai adalah kefahaman.

Masih tergingang-ngiang di telinga saya, nasihat seorang guru Biologi di Matrikulasi;

“Kalau kamu menghafal sahaja, belum tentu apa yang kamu hafal sekarang boleh keluar dan diterjemahkan di atas kertas semasa peperiksaan. Tetapi, percayalah jika kamu memahami apa yang kamu pelajari, kamu akan dapat dua-dua, faham dan hafal.”

Ketika nasihat ini diberi, apa yang saya dapat tafsirkan adalah kerisauan seorang guru terhadap anak didiknya. Kerisauan melihat anak muda sekarang yang ternyata jauh berbeza, dari sudut pemikiran. Guru ini ingin melihat anak didiknya bukan sahaja faham malah mampu berfikir akan hakikat sesuatu perkara.

Kelas Genetik Kuantitatif

Bertuah rasanya berada dalam kelas ini. Pada permulaan, persepsi terhadap pensyarah yang bakal bersyarah di hadadapan kami adalah pensyarah yang garang, cepat marah dan sebagainya. Perkara begini tidak disukai oleh kebanyakan daripada kita.

Namun, bagus kesannya kepada kita. Akibat diracuni dan diberi pendedahan oleh senior mengenai pensyarah tersebut, kita sebolehnya tidak mahu melakukan perkara yang tidak disenangi oleh pensyarah tersebut. Maka, saya kira saat dan ketika ini kita berada di fasa taaruf, sesi perkenalan.

Soal perkenalan, bukan hanya melibatkan dimana pensyarah ini tinggal, bukan soal sudah berkahwin, berapa orang anaknya. Tidak, taaruf adalah terbaik dari sudut kita kenal apa yang beliau suka dan apa yang beliau tidak suka. Meskipun, perkara yang beliau suka dan tidak suka itu tidak selari dengan kehendak kita.

Menarik bagi saya untuk hadir dalam kelas ini adalah, di setiap penghujung sesi syarahan, pasti tidak terlepas sesi peringatan atau muhasabah. Jarang ada pensyarah yang tegas seperti ini. Kebanyakan rakan saya(maaf jika ada yang tidak bersetuju), kurang menyenangi sifat ketegasan beliau.

Namun, saya pasti kalian tidak mengharapkan diri menerima nasihat berbaur perlian dan secara terus tanpa kiasan. Sesi muhasabah tersebut sempat saya catatkan isinya.

  1. Fakta : “pelajar batch ni adalah teruk”
  2. Persepsi pensyarah “we got poor student this year”
  3. Burn your spirit, you can do it!
  4. Genetic is about to understand not memorize.
  5. Where is your target? -> work hard -> good result.
  6. Nature competitive -> Highest score -> Don’t statisfied -> muhasabah -> we’re not perfect.

Perkara ini saya kira tidak ubah suasananya ketika saya di bangku persekolahan, menuntut ilmu di MRSM PDRM, Kulim. Walaupun dikatakan batch kami adalah yang teruk, namun kesedaran diri pada saat itu adalah paling aula, utama.

Sebaiknya, jika kita dikatakan sedemikian rupa, pertama sekali nasihat tersebut perlu diterima dengan hati yang terbuka. Kenapa perlu dengar? Perlu dengar kerana terdapat sisi pandangan yang positif, kadang kala kita terlepas pandang.

“Oh! Ini yang kita perlu ubah.”

Namun, jika kita hanyut dan membiarkan akan perkara tersebut berlaku, maka semangat yang berada di tahap nyawa-nyawa ikan pasti akan terus terkubur.

Noktah : Pemerkasaan Tindakan.

Kita sebagai manusia, tidak akan pernah lari daripada melakukan kesalahan. Kita tidak sempurna. Beza diri kita sekarang dengan 10 tahun yang lepas adalah dari sudut pemikiran. Banyak berfikir, tindakan juga harus seiring.

Tiada guna juga jika banyak berfikir, tetapi perlaksanaannya tiada. Semoga kita sentiasa memperingati. Saya yakin tempoh 4 bulan pengajian, pelbagai perkara yang perlu kita laksanakan.

Tugasan, laporan, program dan sebagainya, semuanya kembali kepada soal pengurusan diri.

Wallahua’alam.

Fikri Arrazi

11:01 Pagi, 3 March 2012

Bangi Perdana.


Check out Sendy, a self hosted newsletter app that lets you send emails 100x cheaper via Amazon SES.

Newsletter

Mahu Dapatkan Info Pantas?

Langgan email secara percuma. Mana tahu ada tawaran istimewa!


Leave a Comment