Saya pasti kerajaan sudah melakukan sehabis baik dengan mewujudkan pelbagai jenis biasiswa untuk menarik minat pelajar aliran sains. Situasi sekarang adalah pengurangan bilangan pelajar di Malaysia yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan sains.
Perkara ini mendesak Majlis Profesor Negara(MPN) untuk melakukan sesuatu. Dalam pada itu, MPN menyarankan agar ditambah bilangan biasiswa yang ditawarkan dalam menarik minat pelajar aliran sains. MPN juga menyatakan dalam kaji selidik mereka bahawa hanya 20 peratus sahaja nisbah yang wujud di sekolah yang merangkumi pelajar aliran sains. Ternyata nisbah ini terlalu jauh dari apa yang diharapkan iaitu 60 peratus.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, walaupun kerajaan sudah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memajukan bidang sains. Namun bukan perkembangan positif yang tercipta tetapi berlakunya peningkatan dalam kemerosotan pelajar.
[Sumber Berita Harian]
Fikiranku
Saya menjangkakan sesuatu akan kenapa perkara ini boleh berlaku. Pelbagai kemungkinan berlegar di fikiran saya.
- Tiada pendedahan yang serius di peringkat sekolah.
- Pelajar tidak tahu atas tujuan apa mereka pelajari sains.
- Pelajar melihat bidang lain lebih jelas matlamat dalam mendapatkan peluang pekerjaan.
- Pelajar tiada pilihan lain, hanya mengambil sains kerana mengikut kawan.
Pendedahan
Imbas kembali kenangan di bangku sekolah. Apa yang kita pelajari sebenarnya? Kenapa dan mengapa? Saya merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA. Pelajar di sana secara keseluruhannya mengambil jurusan sains tulen. Namun, tidak semua daripada pelajar tersebut melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda sains.
“Aku nak jadi doktor”
“Aku nak jadi pelukis”
“Aku nak jadi usahawan”
“Aku nak jadi penghibur”
“Aku nak jadi peguam”
Banyak lagi cita-cita yang pelbagai boleh kita dengar dari mulut sahabat-sahabat kita ketika itu. Saya sendiri memasang niat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan pada asalnya. Namun, berubah minat akibat sesuatu.
Sesuatu yang sangat dekat di hati pelajar sains adalah uji kaji, atau projek sains. Saya menyertai satu pertandingan sains ketika zaman persekolahan. Apa yang saya rasakan ketika itu bukanlah satu keterpaksaan, namun adalah satu keghairahan.
Ghairah dalam mempelajari bidang sains, pelbagai objektif kita letak sebelum melakukan sesuatu uji kaji. Namun, keputusan akhir kadang kala tidak seperti yang kita harapkan. Maka, saya meletakkan aras minat seseorang dalam cenderung ke arah aliran sains adalah pada terasnya, uji kaji.
Minda saintis di didik untuk mengkaji, tetapi perlaksanaan dalam mencambah bakat atau minat itu akan terpadam sekiranya tidak kena pada caranya. Galakan demi galakan yang bersifat kewangan hanya meningkatkan minat pada permulaan. Kita dibutakan dengan wang.
Setelah mendapati apa yang kita pelajari ini tidak kena pada minat yang membuku di hati, pasti terdapat golongan yang futur di medan ini. Ada juga ura-ura mengatakan sains ni perkara asas sahaja.
Tujuan
Ya, memang benar apa yang kita pelajari di bangku persekolahan adalah sesuatu yang asas. Subjek apa pun yang kita pelajari di bangku persekolahan adalah asas dalam menempah tiket untuk melanjutkan pelajaran. Namun, apa yang kurangnya sekarang adalah titik perubahan terhadap tujuan mempelajari sains.
Alangkah indah sekiranya tujuan kita mempelajari sains ini ditemukan dengan galakan yang serius diperingkat muda yakni peringkat persekolahan. Ceramah, kuliah, forum, pameran ternyata sangat memberi kesan kepada seseorang.
Pendedahan yang begitu teratur sangat perlu dilaksanakan, namun tidak dapat disangkal sekiranya pendedahan yang ada sekarang lebih menjerumus ke arah bidang yang kritikal seperti perubatan, farmasi, pergigian dan kejururwatan.
Saya tidak menafikan jika bidang kritikal ini perlu diutamakan berbanding bidang lain. Namun, jangan kita lupa suatu ketika dahulu kerajaan sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa bekalan doktor sudah mencukupi. Sekiranya ditambah dalam bilangan yang sama pada setiap tahun untuk pengambilan pelajar, maka masalah kebanjiran pula akan berlaku.
Mencapai keseimbangan
“hmm… sains, sains, sains.”
“sains lagi…”
Lebih adil sekiranya pembahagian bakat atau minat ini dibentuk dengan serius di peringkat persekolahan lagi. 1 kelas serius untuk mengambil jurusan sains. Maka, itu adalah lebih baik.
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya”
Peribahasa di atas biasa kita dengar dan perhati, namun sejauh mana kita menghayati itu akhirnya berbalik semula kepada individu tersebut. Kita mahu tetapi kita kurang percaya akan bidang ini. Mungkin juga terdapat kekangan di pihak keluarga yang seharusnya diberi pendedahan dengan molek.
Ada pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains, namun keluarga mahukan bidang lain. Tidak dapat tidak penerangan yang menyeluruh perlu disampaikan. Baik kerajaan mahupun masyarakat, solusi dan tindakan seharusnya difikirkan.
Faktor kuota universiti bagi saya mungkin mempengaruhi sedikit akan kemerosotan ini, namun apa yang lebih penting adalah pendedahan dan minat di peringkat rendah.