Lembu oh lembu.

Photo of author

Fikri Mastor

No Comments

Kehidupan

Pagi yang segar di isi dengan sedikit pengisian tentu lebih bermanfaat daripada membuta. Betul kan? Tambahan pula, angin kampung di sekitar kawasan rumah ni, menguatkan lagi ingatan saya pada zaman ‘muda-muda’. Selalunya waktu begini, selepas suboh masih memeluk bantal lagi. 😀

Kuliah subuh pagi ni, berkaitan dengan ibadah korban yang bakal kita raikan tidak lama lagi. Pelbagai input yang saya dapat ketika mendengar kuliah tersebut, yang penting tak la tersenduk-senduk menahan rasa mengantuk. Pandai ustaz tersebut meraih perhatian para jemaah yang tidak seberapa ramai ini.

Definisi ibadah korban(sumber dari IbnRajab Online )

Definisi ibadah korban:
Menyembelih binatang ternakan (al-an’am) pada Hari Raya Korban (10 zulhijjah) atau pada hari-hari Tasyrik (11-13 zulhijjah) dengan tujuan beribadah kepada Allah swt. Binatang ternakan (al-an’am) bermaksud binatang yang halal dimakan, berkaki empat yang biasanya dipelihara oleh manusia sama ada; secara ladang untuk tujuan komersial ataupun secara kecil-kecilan seperti memelihara sebagai hobi untuk memenuhi masa lapang.

Binatang al-an’am adalah seperti kambing, biri-biri, kibash, lembu, kerbau atau unta. Binatang peliharaan lain seperti ayam atau itik adalah tidak memenuhi syarat berkaki empat, manakala kuda pula walaupun ia halal dimakan, tetapi ia bukan terdiri (pada kebiasaan) daripada jenis binatang peliharaan untuk tujuan penyembelihan (untuk dimakan) tetapi untuk tujuan lain seperti kenderaan atau perhiasan.

Ceritanya.

Ustaz menerangkan mengenai hukum mengembala atau menternak binatang ternakan sebagai contoh binatang al-an’am. Pekerjaan yang memudahkan manusia sejagat dalam membekalkan tuntutan diet seharian. Tanpa pengembala, sudah pasti daging-daging yang dipasarkan tentu tiada juga. Betapa penting dan mustahak kehadiran seorang pengembala dalam dunia ini. Pekerjaan ini juga adalah harus mengikut hukum islam.

Namun, bak kata pepatah orang tua-tua, “langit tidak selalunya cerah”. Terdapat segelintir pengembala ini teramat buruk sikap nya. Sering mengundang kemarahan orang ramai. Kemarahan yang ditonjolkan oleh orang ramai itu sudah tentu bukan sengaja diada-adakan. Pasti terdapat sebabnya mengapa dan bagaimana perkara ini berlaku.

Kenapa marah?

Cuba anda bayangkan situasi di sebuah pasar awam. Orang ramai berpusu-pusu dari rumah sedari awal pagi. Ketika itu, anda juga sedang dalam perjalanan menghala ke pasar awam tersebut bagi memenuhi tuntutan seharian. Sedang anda mencari-cari tempat untuk parkir kereta, tiba-tiba dipertengahan jalan terdapat setompok najis lembu. Dalam hati anda menyatakan “tuan lembu mana la yang sesuka hati biarkan lembunya berkeliaran ni, jalan pun tempat membuang najis”. Itu baru cerita di tempat parkir kereta.

Terdapat sebuah lagi kisah benar dimana terdapat seekor lembu dilanggar oleh sebuah lori yang sarat dengan muatan tanah liat. Lori tersebut dalam perjalanan menghala ke Singapura. Pelanggaran tersebut menimbulkan pelbagai masalah. Hendak dilaporkan kepada polis, tuan punya lembu entah siapa. Apabila ditanya, masing-masing tidak mengaku. Takut hendak membayar ganti rugi gamaknya. Lori tersebut rosak tangkinya. Tersadai ditepi jalan lalu memberi kelewatan dalam penghantaran barang yang sepatutnya tiba pada masa yang ditetapkan.

Siapakah yang salah?

Sudah pasti orang mencari siapakah tuan punya lembu, mengapa beliau membiarkan binatang ternakannnya berkeliaran sehingga menganggu ketenteraman orang ramai. Apabila sudah terjadi perkara seperti ini, tiada siapa pun yang berani mengakui. Sebabnya sudah menjadi kes polis.

Akhirnya…

Orang ramai sepakat hendak sembelih binatang tersebut, takkan hendak melihat mati menggelupur begitu sahaja. Patah kaki segalanya. Moralnya disini, tidak semua perkara yang kita hendak lakukan itu betul. Mungkin pada mulanya hukum menjadi harus dengan alasan membela binatang ternakan, tetapi apabila menimbulkan kesusahan dan kekecohan dalam masyarakat sudah tentu haram hukumnya. Memberi kesusahan kepada orang lain.

Belum masuk bab ternakan memasuki kebun orang kampung. Harap maklum, 🙂


Check out Sendy, a self hosted newsletter app that lets you send emails 100x cheaper via Amazon SES.

Newsletter

Mahu Dapatkan Info Pantas?

Langgan email secara percuma. Mana tahu ada tawaran istimewa!


Leave a Comment