Loceng yang sama.

Photo of author

Fikri Mastor

No Comments

Kehidupan

 

 

Gambar oleh Ain Najwa

Dulu

Bila dikenang zaman kita mula-mula memasuki era persekolahan, pasti tidak lekang dengan pengalaman membeli aiskrim di luar pagar sekolah.

“Kriiingg~” bunyi loceng sekolah yang menandakan sesi hari ini berakhir.

Kelihatan ada pelajar yang berlari keluar dari pagar sekolah dengan matlamat yang satu.

“Aku nak aiskrim!” getus dalam jiwa sanubari ketika itu.

Namun, hari yang berlalu tidak secerah yang diharapkan. Pelbagai momokan yang diberikan oleh ibubapa kepada anak-anak ketika itu.

Momokan yang menghentikan segala pengharapan yang indah. Sampai satu tahap kita merasa perasaan geli kepada penjual aiskrim.

Pada satu sudut, perkara ini merupakan sebagai satu alat dalam mendidik anak-anak supaya lebih berwaspada.

Waspada

Berwaspada terhadap pelbagai perkara. Mengelak dari melemahkan diri dan mengancam diri.

Berbalik pada kisah aiskrim, momokan yang diberikan sangat memberi kesan kepada anak-anak yang baru berusia 7-8 tahun.

Mereka percaya dan optimis dalam setiap perkara yang disampaikan oleh orang tua mereka.

“Eii~ Cuba adik tengok orang jual aiskrim tu, mana lah tahu dia kencing tepi jalan, pegang handle motorsikal, lepas tu dikesat tangannya di seluar. Adik pula beli aiskrim. Kotor tahu!” lebih kurang begini lah dialog sang orang tua terhadap anaknya.

Perasaan risau yang membuku dalam jiwa ibubapa yang menebal memaksa mereka melakukan sesuatu. Risau akan kesan kesihatan kepada mereka, kesan terhadap fokus dalam pembelajaran, dan sebagainya.

7-8 tahun adalah tahap kebergantungan kita kepada Ibubapa sangat tinggi. Bukti yang jelas kita boleh lihat di awal tahun sesi persekolahan.

Menangis kerana takut ditinggalkan dalam kelas yang dipenuhi rakan-rakan sebaya. Guru-guru yang garang dan sebagainya.

Fitrah manusia sebenarnya, kita sangat mesra jika seseorang itu sudah lama bersama kita. Suka duka diluahkan bersama kerana ada titik persamaan dan kurangnya jurang perhubungan.

Malah, ada yang lebih bijak dalam soal aiskrim tadi. Anak-anak yang berusia 9 dan ke atas sudah pun pandai berhelah.

“Ala~ Abang bukan beli aiskrim kon tu, ni ha~ dalam pembalut lagi.” kata seorang abang yang sudah senior dalam helah ibubapa, sambil menunjukkan gaya menjilat aiskrim di hadapan orang tuanya.

Kini

Sebaik sahaja selesai 3 hari berprogram semalam ( 23 Jan 2012), seorang penjual aiskrim bermotor sengaja lalu lalang mencari pelanggan.

Memandangkan program tersebut tidak jauh dari bumi Universiti Kebangsaan Malaysia, saya merasa nostalgia yang melampau dalam diri.

Terkenang saat dahulu di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi. Saat bermulanya perjalanan diri sebagai pedamba ilmu.

Petang di Bangi pasti tidak lengkap jika tidak bersiar-siar di sekitar tersebut demi memuaskan perasaan mengingati memori silam.

“Kring~” Loceng yang sama seperti 10 tahun yang lalu.

Loceng sahaja yang sama, tetapi orang yang berlainan. Namun, matlamat mereka adalah sama untuk menjual aiskrim demi sesuap nasi.

Saya dan beberapa sahabat yang lain sengaja membuka bicara mengenai cerita aiskrim ketika itu. Masing-masing mempunyai cerita tersendiri.

Noktah.

Pelbagai perkara boleh kita teliti dan perincikan dari kisah aiskrim ini. Saya pasti semua orang pernah menghadapi situasi di atas.

Ibubapa yang risau akan keselamatan dan masa depan anak-anak pasti mengharapkan yang terbaik buat anak-anak mereka.

Jangan ada prasangka yang bersarang di dalam hati, mungkin sesuatu perkara yang diputuskan oleh ibubapa mampu kita dibuktikan sekarang.

Mungkin 10 tahun akan datang hasilnya akan terbukti. Mendidik anak bukan sesuatu yang mudah. Bukan hari ini diberi didikan sebegitu dahsyat rupanya, esok kita boleh lihat kebaikannya. Itulah dinamakan tarbiyah.

Kita melakukan sesuatu yang kita tidak sukai, bukan keinginan kita. Maka, terbitlah pengorbanan seiring perbuatan tersebut.

Loceng yang sama, tetapi deringannya mampu menarik khalayak ramai.

Kita sebagai seorang muslim yang menyambung rantai perjuangan Rasulullah, dan bukan kita yang memulakan dan mengakhirkannya.

Matlamat yang sama tetapi orang yang berlainan.

Tanpa kita Islam pasti tertegak juga di bumi Allah. Namun, berharap lah agar kita tergolong dalam golongan yang memperjuangkan Islam habis-habisan.

Keringat yang ada pada diri seorang pemuda diperlukan. Sumbangan pemikiran juga adalah sesuatu yang sangat kritikal.

Kritikal kerana terdapat beberapa orang sahaja yang mampu untuk menjadi golongan pemikir.


Check out Sendy, a self hosted newsletter app that lets you send emails 100x cheaper via Amazon SES.

Newsletter

Mahu Dapatkan Info Pantas?

Langgan email secara percuma. Mana tahu ada tawaran istimewa!


Leave a Comment