Mengimpikan Remaja Palestin Versi Malaysia

Photo of author

Fikri Mastor

3 Comments

Catatan

“Aku sedih tengok remaja sekarang, lagi-lagi kat belakang aku ni”

kata Ahmad sambil merujuk kepada meja yang diduduki sekumpulan remaja.

Ahmad sudah pun mengisi perut di kedai yang sama sebelum maghrib tadi, sekadar menemani saya makan malam seorang. Remaja itu masih di meja mereka walaupun banyak jemaah surau sudah beransur keluar usai menunaikan solat berjemaah.

Bila soal hati sering dikaitkan dengan permasalahan fizikal, berlaku liar, hilang pertimbangan, semuanya perlu kembali ke pangkal jalan. Perlu mencari sumber permasalahan. Hati remaja selari dengan usianya, pasti tergerak hati untuk melakukan sesuatu.

remaja [credit : erylife.blogspot.com]

Semua perkara pasti dicuba, meskipun mendapat pelbagai halangan mahupun cabaran. Setiap daripada kita juga pernah merasai nikmat menjadi seorang remaja.

Kita pasti akan terkenang perkara yang tidak pernah dijangka oleh kita untuk melakukan perkara tersebut ketika itu.

Boleh kata,

“entiti apa yang merasuk pemikiran ku untuk melakukan sebegini rupa”.

Mujur diberi kesempatan untuk sedar dan berubah. Banyak kisah yang kita pernah dengar dan lihat sendiri di depan mata bagaimana insan yang rapat dengan kita berubah. Berubah daripada yang kurang baik kepada yang baik.

Malu rasanya ingin mengungkit kisah silam, tetapi cukup sekadar memberi pengajaran buat generasi akan datang.

Mana yang baik kita teruskan, mana yang tidak baik kita elakkan.

Tidak semua perkara yang terjadi pada kita ini, kisahnya sama dengan apa yang menimpa pada orang lain. Setiap orang pasti berbeza ceritanya. Sedih melihatkan generasi muda hari ini, jika kita lihat perangainya tidak ubah seperti apa yang kita pernah lakukan.

Mungkin tidak sama secara keseluruhan, tetapi ‘jalan’ adalah sama. Ke arah melakukan sesuatu yang kurang elok untuk dilihat oleh mata. Dilihat oleh jiwa yang mempunyai kesedaran sivik.

Saya sangat tidak setuju, jika remaja secara sepenuhnya dipersalahkan akan tindakan yang mereka lakukan. Hakikat kehidupan kita ini ibarat putaran roda. Semua orang sedar akan perkara ini.

Cuma sebagai manusia biasa, kita tidak akan terlepas daripada penyakit lupa. Berita di dada akhbar, di kaca televisyen, di corong-corong radio seolah-olah menyebarkan fahaman “Remaja harus dipersalahkan”.

Bukan pula mengajak masyarakat untuk berfikir ke arah menyelesaikan masalah ini. Semakin diberitakan semakin bertambah pula deritanya. Bagaikan mengambil dadah, tiada hilang rasa ketagihnya.

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong?. (Sahih Muslim : 4803)

Kita juga biasa dengar peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Bagi saya, peribahasa ini merujuk kepada peranan institusi keluarga dalam menerapkan elemen-elemen moral yang murni.

Gagal peranan ibubapa, maka gagal juga produk yang dihasilkan yakni anak-anak. Biarpun biah (suasana) dirumah sudah sedia elok, baik dari sudut penerapan rohani mahupun jasmani, itu tidak menjamin 100% sahsiah yang tinggi pada anak-anak.

Kita terlupa wujudnya satu lagi elemen yang memberi penangan yang besar terhadap kehidupan remaja. Faktor persekitaran itu kunci penentu sifat sebenar seorang remaja.

Faktor pemilihan rakan sebaya ini mencerminkan kehidupan seorang remaja. Jika baik rakannya, maka baiklah diri mereka, In Sha Allah.

“saya dah didik anak saya, makan pakai cukup, hantar pula ke sekolah agama. Tiba-tiba hari ini, cikgu panggil saya, kata anak saya ini buat perangai tidak elok di sekolah. Di rumah elok saya tengok, tiada pun masalah yang macam cikgu beritahu ini”

Mendidik remaja memerlukan perhatian yang lebih, saya sendiri mengakuinya. Ketika remaja ini macam-macam perkara difikirkan. Jauh disudut hati hendak melakukan itu, hendak mencuba ini.

Bagi saya adalah menjadi satu kesalahan dengan meletakkan kepercayaan 100% untuk mendidik remaja pada guru di sekolah. Ibubapa juga turut mempunyai saham mereka, kuat cabaran guru kerana di sekolah bukan seorang anak murid yang perlu diberi perhatian.

Bayangkan seorang guru perlu mengawal atur segala tingkah laku 40 orang dalam satu kelas. Bahkan lagi menyayat hati jika terlintas dibenak pemikiran ibubapa, guru-guru adalah ibubapa mutlak di sekolah.

Guru-guru seperti diibaratkan seorang pelari gantian, menggunakan baton sebagai peralihan kuasa. Melepaskan sepenuh tanggungjawab kepada guru-guru. Segala masalah yang timbul, guru sahaja yang salah.

Usah berbicara untuk melihat remaja Malaysia seiras remaja Palestin. Kita sendiri perlu bersama untuk memastikan golongan remaja ini tidak terpinggir. Tidak terus hanyut. Kita ingin melihat generasi muda ini seperti Sultan Muhamad Al-Fateh, tetapi adakah sudah cukup usaha kita?

Masa muda ni lah kita belajar untuk kenal siapa diri kita sebenar. Kita lakukan apa, suka hati kita. Bila sudah tua, sudah tidak berdaya apa-apa baru mula ingin bertaubat. Mujur jika Allah beri masa untuk bertaubat & kenang semuanya. Allahu Rabbi~

FIKRI
43650 Bangi


Check out Sendy, a self hosted newsletter app that lets you send emails 100x cheaper via Amazon SES.

Newsletter

Mahu Dapatkan Info Pantas?

Langgan email secara percuma. Mana tahu ada tawaran istimewa!


3 thoughts on “Mengimpikan Remaja Palestin Versi Malaysia”

Leave a Comment