12 Julai 2011 menandakan kami warga pesta konvo 39 UKM masih mampu berada di sini. Maka, dalam sebulan ini juga pelbagai isu, ilmu, pengalaman, masalah, kenangan, dan aktiviti yang kami hadapi. Belajar untuk mengurus masalah yang timbul, walaupun adakalanya keadaan emosi yang tidak stabil.
Masa berlalu agak pantas, sebulan dirasakan seperti seminggu. Pelbagai kerenah sahabat-sahabat kita layan. Aktiviti riadah banyak membantu kita mengenal sahabat-sahabat dengan lebih lanjut dalam masa yang sama kita dapat mengurangkan tekanan dalam tugas seharian. Dalam tempoh berkampung juga, arahan dari peringkat Kementerian Pengajian Tinggi untuk hadir dalam Kem Pengukuhan Kepimpinan selama 3 hari. Dalam keadaan terpaksa kerana saya tidak suka membuat banyak perkara dalam 1 masa. Walaupun tidak panjang tempohnya, focus terhadap program akan kurang.
MUHASABAH
Kerap sekali perkataan ini kita dengar apabila permasalahan besar mahupun kecil yang timbul.
“cuba kita muhasabah kembali, mana silapnya”
antara dialog yang sering diungkapkan. Bagi saya, menurut kamus saintifik, perkataan muhasabah itu sama maksudnya dengan mengkaji. Satu perbuatan yang memerlukan kita berfikir sedalam-dalamnya. Mencari punca dan penyelesaian dalam setiap permasalahan.
Sikap mengkaji ini perlu diterapkan dalam diri masyarakat, terutamanya Mahasiswa. Setiap perkataan yang kita ungkapkan haruslah berdasarkan fakta yang kita dapat. Banyak orang mengaji ilmu di pelbagai peringkat institusi pengajian, dari peringkat bangku sekolah hingga ke peringkat tertinggi seperti PhD dan sebagainya. Namun tidak banyak orang mengkaji apa yang dipelajari sepanjang tempoh pengajian berlangsung.
Maka akan wujud masyarakat yang hanya menerima. Tiada perkara baru yang kita boleh sampaikan kepada orang lain. Tiada penemuan-penemuan baru. Jadi, itulah kepentingan mengkaji dalam kehidupan seharian kita. Ilmu ini bukan hanya apa yang terdapat dalam buku-buku, malah dalam perbuatan seharian kita juga boleh dikategorikan sebagai ilmu/pengalaman.
UTAMA
Keutamaan kita yang pertama sekali adalah menuntut ilmu sebanyak mungkin. Islam juga menekankan pentingnya golongan berilmu ini dengan kata-kata
“ tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad”.
Perkara ini biasa kita dengar, tapi jarang sekali kita laksanakan. Jadi, betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Itu solusinya.
Keadaan sekarang yang agak sibuk dengan urusan pesta konvo sebenarnya mengajar diri saya untuk mengurus sesuatu perkara. Pelbagai perkara yang ingin dilakukan memerlukan perancangan yang cukup. Dari segi pengurusan masa, rangka masa( time frame), jadual kerja dan sebagainya. Bila terbinanya rangka masa, kita akan dapat melihat dengan jelas segala perancangan kita. Setiap hari kita akan belajar perkara baru, kebanyakannya dalam bentuk teguran.
NOKTAH
Kutip lah sebanyak mungkin mutiara-mutiara kehidupan yakni ilmu. Dalam masa yang sama kita mengkaji setiap apa yang kita perolehi, agar kelangsungan kehidupan kita berjalan dengan baik. Erti hidup pada memberi. 🙂