Dalam proses latihan, tarbiah dan kaderisasi, perkara yang selalu dilupai adalah, proses untuk melahirkan pelatih yang lebih hebat dari sang jurulatih. Caranya? Berikan KEPERCAYAAN kita kepada mereka.
Percaya dan memahami
Biarpun kita sering dipanggil untuk melakukan sesuatu yang kena pada skil tersendiri, hakikatnya kita lupa untuk berkongsi.
Kita lupa bahawa skil yang ada pada kita, pasti tidak semuanya ada pada sahabat kita. Maka, kelak akan timbul persepsi bahawa kita ini hanya ingin berjaya seorang diri.
Bahkan jika diteliti, bukan kita tidak menyedarinya tetapi soal masa yang mengekang serta timbunan kerja yang diberi.
Sehebat mana kita sembang bab pembangunan potensi diri, jika kesungguhan dan kemahuan tidak timbul secara rela. Saya merasakan segala usaha yang dilakukan tidak ubah seperti mengajar ketam berjalan betul.
Percaya dan memahami bukan perkara yang sama. Walhal, apabila kita mempersoalkan tentang percaya, sejauh mana kita mampu memberi kepercayaan sekiranya wujud sekelumit rasa kasihan.
“ana takut nta terbeban”
“nta tidak langsung memberi kepercayaan kepada ana, nta biarkan diri nta terbeban seorang diri”
Maka, keperluan ‘memahami’ wujud dalam membanteras segala persepsi dan rasa kasihan.
Memberi ruang dan peluang bukan beban
Sukar untuk digambarkan secara terperinci perihal beban dan peluang. Namun, sekadar perkongsian mengenai amal kebajikan yang ditunjukkan dan diceritakan sejak zaman berzaman.
Kisah Imam Hassan al-Banna dan pekerjaan menyusun kerusi. Iktibar daripada cerita ini, saya merasakan hati ini sangat tersentuh.
Kita bercita-cita untuk merebut segala peluang yang kita impikan. Peluang yang kena pada jiwa dan minat kita. Bahkan jika peluang tersebut diberi sepanjang masa, pasti kita tidak akan mudah melepaskan peluang tersebut sewenang-wenangnya.
Imam Hassan al-Banna merupakan tokoh gerakan Islam dan merupakan salah seorang pengasas Harakah Islamiah di Mesir, Ikhwanul Muslimin.
Tidak kisah dengan status bergelar pemimpin tertinggi, segala ego segera dikikis. Pekerjaan menyusun kerusi bukan sesuatu yang hina, remeh dan sebagainya.
Hakikat tersebut jika ingin dilihat pada generasi masa kini, teramat sukar untuk dicari. Saya melahirkan kenyataan ini buat peringatan diri sendiri dan juga sahabat-sahabat.
Maka, saya sendiri terpukul dengan kata-kata sahabat;
“Kita sering mempersoalkan sesuatu yang sangat merintih jiwa, kita rasa kita tidak layak untuk memikul tanggungjawab ini. Namun, kita tidak pernah memikirkan sesuatu bahawa jika pilihan kita untuk menolak benda ini, adakah itu lebih baik? Kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa hadapan, adakah sesuatu yang baik akan berlaku jika kita menolaknya?”
Akhirnya, saya menyerahkan diri, bertawakal kepada Allah, bersangka baik bahawa jalan ini sudah pun ditetapkan buat diri. Hanya doa sebagai permohonan agar diberi ketetapan dalam diri untuk terus ikhlas biarpun keikhlasan tersebut hanya mampu dihitung di sisi Allah.