Sekatan Bukan Jalan Terbaik!

Photo of author

Fikri Mastor

No Comments

Catatan

Agenda perubahan mahupun transformasi dari 2 belah pihak dapat kita rasai auranya. Selaku mahasiswa & anak muda, saya khuatir apabila melihat sebahagian daripada generasi muda hari ini lalai dalam menunaikan tanggungjawab mereka.

Ada yang mendakwa, Mahasiswa turun berhimpun dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat perosak negara.

Ada yang mendakwa, Mahasiswa yang tidak turun berhimpun mahasiswa yang lembab dan tidak cakna.

Apapun alasan yang diberikan masing-masing punya pandangan tersendiri. Malaysia sebuah negara demokrasi, namun aura demokrasi itu sendiri tidak menyelinap dalam lubuk hati generasi muda. Sudah lebih 50 tahun merdeka daripada penjajahan barat, namun penjajahan pemikiran pula yang mendominasi.

Kenapa penjajahan pemikiran?

Dalam era globalisasi, kita tidak dapat menyekat kemahuan masyarakat yang sentiasa mengharapkan kerajaan yang berjiwa rakyat. Kerajaan yang sentiasa bersama rakyat. Kerajaan yang sentiasa memahami tanggungjawab mereka terhadap rakyat.

Sekatan bukan jalan yang terbaik untuk mendidik masyarakat. Akibat sekatan juga sebahagian ahli masyarakat melampaui batas yang dirasakan betul bagi sebelah pihak. Contoh terdekat, soal media dan penerangan yang jelas menunjukkan bahawa Malaysia ini sebuah negara yang tidak mengamalkan demokrasi sepenuhnya.

Sebelah pihak dilihat sentiasa betul, sebelah pihak jika dilaporkan berita hanya yang ‘nakal’ sahaja ditunjukkan. Walhal kedua-dua belah pihak ada baik dan buruknya. Hakikat manusia ini tidak sempurna sering melakukan kesalahan. Tidak wajar jika sentiasa dilihat betul demi mempengaruhi masyarakat umum yang tidak ketahui.

Isu Kalimah Allah yang dimulai dengan tuntutan Democratic Action Party (DAP) agar kalimah Allah ditulis dalam kitab Bible. Kata orang, jika disepak terajang sesuatu isu berkaitan Ilmu dalam kancah politik, sememangnya tidak menunjukkan budaya keilmuan. Masing-masing menyediakan buah catur mereka dalam memenangi perang isu.

Lalu, peranan golongan Ilmuwan sangat diperlukan. Amanah yang diberikan kepada golongan ilmuwan sangat berat dalam membentuk masyarakat. Golongan Ilmuwan juga perlu dilihat neutral kerana bimbang dilihat menyebelahi mana-mana pihak.

Namun, hari ini dalam konteks kebebasan bersuara, semua itu tidak pernah berlaku. Masing-masing cepat menghukum, tanpa usul periksa. Tiada penilaian yang matang sebelum melakukan sesuatu keputusan. Ini menjadi kerisauan golongan ilmuan terhadap generasi muda yang punya semangat membara.

Semangat tanpa matlamat yang jelas. Sekadar ikutan itu satu kerisauan yang nyata.

Pada saya, beberapa kenyataan ahli poltik daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat sengaja dilagakan. Demi harga sebuah undi buat Barisan Nasional. Walhal semua jelas bahawa pandangan mereka berbeza pada skop yang berbeza.

Saya sangat bersetuju dengan artikel daripada Dr. Muhamad Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA), beliau menghurai isu kalimah Allah yang sangat tepat pada masanya. Dikala masyarakat memerlukan pandangan seseorang yang luar daripada parti politik. Bukan sahaja tepat pada masa, malah kena pada isinya.

Demi cinta terhadap budaya keilmuan, usah celarukan kefahaman masyarakat kerana terdesak untuk menguasai tampuk pemerintahan. Hanya dengan kebebasan media mampu menyalurkan maklumat yang lengkap buat masyarakat. Tidak pula maklumat itu ditapis sedikit demi sedikit, kerana maklumat itu pasti mengelirukan masyarakat, lebih-lebih lagi perihal kalimah Allah.

Sewajarnya, media arus perdana perlu berlaku adil dalam penyebaran maklumat. Bukan dialog yang melibatkan kroni dan sekutu mereka sahaja. Matlamat akhir hanya satu, menjatuhkan imej parti yang mereka benci.

Mahasiswa Tuntut Perubahan.


Check out Sendy, a self hosted newsletter app that lets you send emails 100x cheaper via Amazon SES.

Newsletter

Mahu Dapatkan Info Pantas?

Langgan email secara percuma. Mana tahu ada tawaran istimewa!


Leave a Comment