“Andai ada kata yang lebih hebat dari ucapan “Terima Kasih”, pasti akan aku ucap dengan setulus hati, sebagai tanda cinta ku kepada Mu, Ya Allahu Rabbi~”
Apabila saya membuat status seperti di atas, saya tertarik dengan komen yang diberi.
Muhammad Syafiq Sarkawi “nabi ajar ‘Alhamdulillah’ tanda syukur :)”
Saya tidak marah, apatah lagi kecewa tetapi saya merasakan sangat bersyukur kerana masih ada yang mampu berfikir dengan lebih jauh.
Lain dari yang lain. Hebat dalam berfikir dan menterjemahkan menjadi sebuah pesanan.
Sebuah pesanan kepada kebenaran, mendekatkan lagi hati yang ingin kepada Islam. Sentiasa membina Islam dalam diri.
Semoga hidayah Allah sentiasa dilimpahkan kepada kita, InsyaAllah.
Hari itu
Kami 3 sahabat, Azan Safar, Afiq Nasir dan saya sendiri saja sembang kosong menanti subuh. Namun, secara tidak sengaja diubah kepada sesi muhasabah.
Pap! Secara tiba-tiba terasa berat di kepala.
Bergerak perlahan-lahan menuju ke dapur, menyediakan juadah untuk bersahur.
Sengaja melarikan diri.
Tersengih sendirian kerana menahan ketawa oleh kata-kata seorang sahabat.
Lagi beberapa jam sebelum kertas Fisiologi Tumbuhan, saya bermuhasabah bersama mereka akan masa yang dihabiskan.
Azan memulakan bicara, “enta ambil berapa lama untuk habiskan sebuah buku?”
Saya tidak berapa pasti akan dialog mereka, kerana saya masih berada di dapur.
Beberapa minit kemudian baru saya menyusul untuk bersama mereka.
Azan berkata lagi “ana dulu pernah buat rekod membaca 7 buah buku dalam masa sebulan.”
Afiq tersengih dari jauh, menahan ketawa mungkin. Saya mula berasa bersalah.
Teringat kata-kata seorang ibu, “Ingat tu, kurangkan masa berdepan dengan laptop”
Kita kerap berkata “Ah! aku tiada masa nak baca buku macam tu, dah la tebal. Balik kuliah, makan, tidur, kerja persatuan lagi, aktiviti kolej lagi, buku akademik lagi.”
Afiq memberikan respon “Yela-yela, ana dah tutup laptop ni”
Saya cuba memberikan harapan “Tak payah la baru nak tutup tu, tentu ada masa kita online dan ada juga masa untuk membaca buku”
“Ish~ Betul la, sungguh ni, ana tak main-main! Kita hendak berhujah perlu berilmu. Orang yang berilmu pasti akan direbut, banyak tokoh-tokoh yang kita boleh lihat. Syeikh Yusuf Al-Qardawi dengan sumbangannya dalam Fiqh Aulawiyat, diguna pakai oleh pelbagai ahli gerakan tidak kira berlatar belakangkan apa.”
Jangan jadi Generasi Strawberi
Generasi strawberi yang bersifat rapuh, pudar warnanya apabila didedahkan di bawah sinar matahari, lembik dan sebagainya.
Generasi strawberi perlu di kekang kewujudannya, namun tanpa kita sedar bahawa diri sendiri juga tergolong dalam generasi tersebut.
“Ana tidak rasa kita mampu lakukannya, kita sibuk dengan pelbagai aktiviti sepanjang sem, program itu program ini.” Kata Azan lagi.
Azan benar-benar menguasai sesi ini.
Saya mengiakan sahaja, betul juga kata-kata azan ni.
“Ana yakin kita sebenarnya mampu melakukannya, jika dilihat seharian kita di hadapan laptop, menunggu dan menunggu. Alangkah baik jika diisi dengan membaca sesuatu.” Kata saya membalas keraguan Azan.
“Kita sendiri dapat melihat generasi sekarang bagaimana, suka forum yang berunsur cinta walhal sepatutnya sekarang adalah masa untuk membaca dan mengasah pemikiran. Sebelum kita membuat sesuatu keputusan, acap kali kita merujuk kepada bahan-bahan tertentu, yakni ILMU!” balas Azan.
Nah! Pundak ku terasa lagi.
Satu persoalan diajukan oleh Azan kepada Afiq, “Kita ni rajin membaca, tapi bila?”
“Minggu peperiksaan” jawab Afiq, pendek jawapannya tetapi memang betul hakikat itu.
Penelitian
Ya, rujuk kembali diri kita. Komen sekencang mana di laman sosial, bertekak itu bertekak ini.
Tiada kesudahan.
Ada masa sebulan bercuti, tolak program itu program ini, tinggal 2 minggu.
Optimis dalam setiap perkara. Tidak semua kita lihat itu adalah sesuatu yang sukar bagi kita.
Saya takut sekiranya kita ini berjuang mempertahankan sesuatu isu tanpa ilmu.
Contoh, kita sibuk mendesak kerajaan memansuhkan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU).
Tetapi forum kita tidak dengar apabila diajak, membaca apatah lagi, sudah tentu tidak.
Kita sibuk dengan memandang Tarbiyah itu hanyalah tarbiyah ruhiyyah, perkara yang mendekatkan diri kepada Allah.
Walhal, tarbiyah itu luas. Segalanya bermula dengan tarbiyah kerana tarbiyah itu mendidik.
Mendidik insan untuk berfikir, mendidik insan berbuat kebajikan.