Suasana Kedai Makan
Keadaan cemas seketika.
Sedang Mat menunggu pelanggan untuk menerima pesanan, terlihat kelibat sang bapa sedang menampar anaknya. Bertalu-talu tanpa rasa belas kasihan. Mata sang bapa jelas menunjukkan api kemarahannya.
Sang ibu terdiam seribu bahasa. Hanya mampu melihat tatkala sang bapa sedang menegur anaknya akan kesalahan yang telah dilakukan. Mat seakan terpana dengan kejadian yang sedang berlaku. Barangkali ini kejadian yang pertama pernah disaksikannya sendiri.
Timbul persoalan di hati Mat;
“Mengapa anaknya diperlakukan sebegitu rupa?”
“Besar sangatkah kesalahannya?”
“Maknya diam ja?”
Si anak kemudiannya berlari ke arah maknya. Melihat akan tindakan anaknya berlari, sang bapa meluahkan perasaannya melalui kata-kata. Sungguh, jika kata-kata itu boleh diibaratkan seperti makanan, barangkali ‘pedas’ adalah label yang sesuai.
Mengapa?
Kadangkala saya terfikir sejenak, dahulu masa kecil-kecil cili api, pernah juga merasa di rotan, di terajang dan sebagainya. Namun, itu cerita 10 tahun dahulu. Sekarang, juga masih ada lagi ibu bapa yang mengajar secara sedemikian, cuma bersifat ‘terbuka’ dalam perkara ini.
Saya tidak mengatakan salah dalam mengajar anak dengan menampar. Namun, sikap ‘terbuka’ itu yang saya rasakan tidak patut. Keadaan sekeliling yang dipenuhi orang awam, di kedai makan. Si anak masih lagi kecil. Ditampar bertalu-talu tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.
Sayu
Saya tersentuh dengan keadaan itu kerana saya tidak meletakkan diri saya pada kasut sendiri. Malah, saya yakin Mat dan rakan sekerjanya pasti mempunyai perasaan yang sama seperti saya. Siapalah saya, kahwin pun belum, beroleh anak apatah lagi.
Sekeras mana tarbiyah oleh ibu ayah saya, tidak begitu terbuka dalam mendidik saya. Konsep ‘Bermula dari rumah’ amat ditekankan oleh ibu ayah saya. Memandangkan ibu saya mempunyai pengkhususan dalam mendidik, iaitu seorang guru. Maka saya merasa ditarbiyah di rumah, seperti mana anak muridnya di tarbiyah di sekolah.
Seingat saya dahulu, pernah ibu saya mengajukan persoalan kepada saya;
“Ada anak murid mak kata, mak ni garang, betul ka?”
Balas saya;
“Fikri tak tahu la mak, sebab fikri tak pernah jadi anak murid mak di sekolah tu”
Mak terdiam sebentar, kemudian menambah;
“Ada juga yang kata, dengan ketegasan mak ni, dapat meningkatkan lagi daya kesungguhan dalam belajar. Mereka nak mak mengajar mereka, kerana pengajaran cikgu di sekolah baharu tidak seperti mak.”
Tambah mak lagi kepada anak muridnya;
“Janganlah kamu bandingkan saya dengan cikgu-cikgu disana. Setiap guru ada style tersendiri dalam mengajar. Ada seninya dalam mengajar ni.”
Noktah
Suka saya katakan, setiap perlakuan kita pasti akan kembali juga kepada kita semula. Biasa dengar kenyataan ini, “What you give, you get back”. Saya tidak pula menyatakan sifat dendam terhadap perlakuan ibu bapa saya.
Saya sedar setiap apa yang ibu bapa saya lakukan adalah demi mengatur kesejahteraan saya di hari muka. Harapan untuk menjadikan saya seorang manusia yang berguna. Cuma perlaksanaan berbeza mengikut keluarga atau waqi’ nya.
Kejadian ini sedikit sebanyak menyedarkan saya, bahawa dalam keterbukaan itu perlu ada batasnya. Sehinggakan saya bermonolog; “Adakah sama juga suatu hari nanti apabila diri ku bergelar seorang ayah?”
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi golongan orang-orang yang bertaqwa.”
Al-Furqaan:74
Selalu saya berdoa selepas solat, diulangi, diamati dan diamalkan setiap hari doa di atas. Semoga ia termakbul oleh Allah. Sebaik-baik panduan adalah ayat dari Al-Quran. Begitu pun, saya merasa adalah salah sekiranya saya membandingkan keluarga saya dengan keluarga lain.
Saya khuatir dengan gejala sosial yang semakin meruncing saban hari. Saya khuatir sekiranya permasalahan sosial ini timbul akibat didikan yang kurang berkesan ini.
Wallahualam.