Kembara Hujung Minggu

Photo of author

Fikri Mastor

No Comments

UKM

Kembara seorang hamba dalam mengenali Tuhannya turut melibatkan pengorbanan. Pengorbanan masa, tenaga dan segalanya. Meskipun masih belajar di peringkat permulaan sebagai jurugambar, saya terasa sungguh besar nilainya sebuah gambar dalam berdakwah. Terbit pula idea untuk membentuk blog baru yang pendekatannya lebih kepada gambar sahaja.

Berbalik kepada niat asal saya untuk ber-blog, melatih diri ini menulis menggunakan bahasa melayu yang tinggi. Menulis setiap patah perkataan tanpa perlu ada bahasa pasar yang kadang kala mencacatkan bahasa melayu tersebut.

Bahasa melayu tinggi

Apa perkaitannya dengan penulisan. Baiklah, berbalik semula kepada zaman dahulu. Jika diperhatikan terdapat banyak mazhab yang wujud selain daripada 4 mazhab yang utama atau terkenal. 4 mazhab seperti  Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hambal, dan Imam Hanafi terkenal dengan sesuatu.

Apakah faktor utama yang menyebabkan 4 mazhab ini terkenal dan diamalkan di seluruh pelusuk dunia? Sudah tentu melalui penulisan dan bahasa yang mesra pengguna. Bahasa mesra pengguna ini boleh dikatergorikan sebagai bahasa yang mudah difahami.

Malahan, bahasa Al-Quran yang tinggi juga menarik minat orang bukan Islam untuk membaca dan mengkajinya. Rajinkan diri untuk membaca Al-Quran, nasihat kepada diri saya sendiri juga. Banyak manfaat yang boleh didapati dengan membaca Al-Quran ini.

Bengkel Dakwah Melalui Media

Pada hari sabtu yang lepas; 10/12/2011, telah berlangsung Bengkel Dakwah Melalui Media yang dianjurkan oleh Kelab PERKIM UKM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi. Kehadiran peserta yang mencapai targetnya hampir 50 orang. Pengkhususan program ini lebih kepada pengurusan blog dan teknik penulisan.

Banyak perkongsian dan perkara baru yang didapati peserta. Penceramah jemputan adalah Ustaz Zahiruddin Zabidi dari PTS Publication Sdn. Bhd. serta krew Langit Ilahi yang terkenal dengan motonya “Mari menjadi hamba”, Abu Ridhwan. Pada peringkat awal program,  Ustaz Zahiruddin  menggunakan pendekatan dengan memberi kefahaman tentang pentingnya berdakwah. Pelbagai platform yang wujud pada masa kini, seperti blog yang sewajarnya digunakan sebaik mungkin.

Penekanan terhadap teknik penulisan dan pengurusan blog sangat memberi kesan terhadap pembaca. Memudahkan pembacaan serta menarik perhatian pembaca untuk terus membaca. Saya tertarik dengan kata-kata;

Blog yang terbaik adalah blog yang sentiasa dikemas kini setiap hari.

Allahu Rabbi, bagaimana mungkin untuk saya istiqomah dalam memberi sesuatu input dalam blog pada setiap hari. Tidak termampu untuk saya lakukan. Maka saya bertekad jika bukan setiap hari saya menulis, sekurang-kurangnya setiap minggu pasti ada sesuatu yang saya kongsikan di sini.

Induksi Kelab Rakan Taman UKM

Aktiviti yang melibatkan ahli kelab yang baru mendaftar bagi sesi kali ni dikendalikan sepenuhnya oleh abang Arrabe’ selaku Presiden Kelab Rakan Taman UKM (KRTUKM). Program yang bermula pada jam 8 pagi berakhir pada jam 10.00 pagi ini bertempat di Taman Paku Pakis dan Taman Herba, UKM.

Peserta yang terlibat bagaimanapun didominasi oleh Tahun 3, Mahasiswi tahun akhir. Saya hanya sempat bersama mereka di dalam taman tersebut, tidak lama kerana komitmen dengan program Bengkel Dakwah Melalui Media. Rugi pula rasanya tidak bersama mereka untuk bersarapan di Kolej Aminuddin Baki.

Noktah

Ibrah daripada program yang saya sertai ini banyak mengajar erti kesungguhan dalam bergerak kerja. Kerja yang dilakukan bersungguh-sungguh akan membuahkan kepuasan pada akhirnya. Tidak bersungguh-sungguh, maka banyak cacat cela yang boleh kita lihat sepanjang program berlangsung.

Alhamdulillah, Bengkel Dakwah Melalui Media berlangsung dengan jayanya. Saya sendiri mendapat input yang berguna dalam bengkel tersebut. Sangat membantu dalam memberi inspirasi agar saya terus istiqomah untuk memberi. Semoga segala apa perkongsian yang bakal terbitkan di sini, amat berguna pada sahabat sekalian.

Hakikatnya, kita sebagai manusia amat cetek Ilmu. Manusia sebagai pemburu ilmu, dan bukannya ilmu yang memburu manusia. Kadang kala, orang beranggapan bahawa Ilmu itu datang bergolek-golek, dan sedih rasanya kerana golongan yang beranggapan sedemikian adalah remaja yang sebaya seperti saya.

Pemuda harapan bangsa, jangan dipunahkan harapan itu. Biarlah harapan bertukar kenyataan dan bukannya terus kekal sebagai impian.

Wallahualam.


Check out Sendy, a self hosted newsletter app that lets you send emails 100x cheaper via Amazon SES.

Newsletter

Mahu Dapatkan Info Pantas?

Langgan email secara percuma. Mana tahu ada tawaran istimewa!


Leave a Comment